Sejarah Dan Latar Belakang Ayahanda Rani Kulup Yang Tidak Diceritakannya

Siapa yang tidak kenal dengan individu yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu kerana popular di media sosial dan memegang gelaran Raja Report negara? Dia ialah Abdul Rani Bin Kulup Abdullah (ARKA) atau lebih mesra dengan panggilan Ayahanda Rani Kulup.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dia juga sering dikenali dengan slogan “Kipidap Dongibab” dan “Ko Tunggu Aku Report Polis” yang begitu sinonim dengan dirinya. Di sebalik personalitinya yang lucu itu, ramai tidak mengetahui kisah hebat mengenai lelaki yang sering memakai beret berwarna merah, beruniform dan berkaca mata hitam ini.

Ayahanda Rani Kulup dilahirkan pada 10 Mac 1955 di Sayong, Perak. Pada tahun 1973 ketika dia berumur 18 tahun, dia menyertai pasukan tentera ketika negara sedang menghadapi pelbagai pergolakan akibat serangan pengganas komunis yang berterusan.

ayah rani kulup kad pengenalan tentera askar

Ayahanda Rani Kulup menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana tekad untuk melindungi orang awam. Patutlah lelaki ini tidak gentar untuk melaporkan sebarang kesalahan kepada pihak polis walaupun tindakannya itu mungkin akan menggugat keselamatannya sendiri.

Dalam satu wawancara khas bersama Sinar Online, Ayahanda Rani Kulup memberitahu bahawa dia sendiri pernah bertempur dengan pengganas komunis di Gua Musang, Kelantan. Selain itu, dia juga pernah bertempur dengan komunis di kawasan lain seperti Kuala Kacau di Terengganu dan di Nibong Tebal, Pulau Pinang serta banyak lagi.

Dia menyertai satu misi yang diberi nama sebagai Misi Risik Gempur. Pada waktu itu, memang ada pasukan khas dalam pasukan tentera. Selain komando, terdapat juga pasukan Risik Gempur yang juga dikenalil sebagai Unit Combat Intelligence Squad (UCIS).

Unit ini merupakan unit elit di dalam setiap batalion Renjer di mana ia mempunyai kekuatan antara satu seksyen sehingga satu platun. Pegawai-pegawai dan anggota unit ini juga menjalani latihan yang lebih khusus dan lebih lasak daripada anggota Renjer biasa, hampir menyamai kepakaran unit Komando seperti menjalankan rondaan jangka panjang, risikan medan, payung terjun dan pelbagai lagi.

rani kulup risek tempur gempor wira tentera askar hebat fighter

UCIS kemudian telah digantikan dengan Platun Tinjau (recon) di mana tugasan yang sama dilalukan dan terdapat Infantri Sniper di mana tugasan lebih kepada membunuh dan melumpuhkan keupayaan musuh dengan membunuh individu penting seperti CO, radioman, OC atau pengendali senjata bantuan.

Menurut Ayahanda Rani Kulup lagi, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya semasa bertempur dengan pengganas komunis adalah ketika ada ahli pasukannya yang terkena jerangkap samar yang dipasang pihak musuh bagi menghalang dan melambatkan pasukan tentera dalam misi mempertahankan negara.

ayahnda abdul rani kulup arka dulu dulu masa muda

Di sebalik wajahnya yang riang, kita dapat lihat ada kalanya lelaki ini sering dijadikan bahan jenaka masyarakat. Sebenarnya, Ayahanda Rani Kulup menyimpan seribu satu kisah dalam misi mempertahankan negara sejak menyertai pasukan tentera.

Dia memberitahu Sinar Online lagi bahawa dia telah menyertai lebih daripada 65 operasi sejak berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Dia telah merasai segala pahit maung, asam garam dan kepayahan dalam menentang pengganas komunis sehinggalah ancaman dalam hutan sudah tidak ada lagi.

Ketika ditemuramah pemberita, Ayahanda Rani Kulup tidak pernah memberitahu bahawa dia adalah bekas anggota tentera unit komando (Risik Gempur UCIS). Itu menunjukkan betapa sifatnya yang merendah diri.

Selepas menyertai tentera selama 22 tahun, dia bersara dan bekerja sebagai pegawai keselamatan dan penyelia. Ayahanda Rani Kulup juga pernah ditugaskan sebagai pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk mengiringi dan menjaga bahan-bahan letupan.

rani kulup semaja muda remaja dulu dulu

Dia juga mula berjinak-jinak dengan aktiviti pertubuhan. Pada waktu itu, dia lihat banyak tekanan yang berlaku terhadap orang Melayu. Apabila melihat orang Melayu dihina, ditekan dan tiada yang bangun untuk bersuara, Ayahanda Rani Kulup mengambil tanggungjawab dengan membuat laporan polis sehingga ke hari ini.

Di sebalik muka Ayahanda Rani Kulup yang sentiasa kelihatan tegas ini, anda pasti tidak menyangka bahawa dia juga merupakan seorang anggota kumpulan muzik tanah air yang dikenali dengan nama Sometimes Group.

band kugiran rani kulup sometimes group

Sometimes Group – Kugiran Rani Kulup Dulu-Dulu
band rani kulup ahli muzik

Kumpulan muzik itu pernah menghasilkan album pada tahun 2010. Ayahanda Rani Kulup memberitahu bahawa dia adalah pencipta lagu, lirik, penyanyi dan juga pemuzik dalam kumpulannya.

Dalam album Sometimes Group yang berjudul “Tutup Pintu Tapi Tak Berkunci” itu, ia mengandungi lima buah lagu ciptaan Ayahanda Rani Kulup yang berkonsepkan irama pop yeh-yeh dan era 60-an.

Lagu tutup pintu tapi tak berkunci ciptaan Ayahanda Rani Kulup.

Hari ini, Ayahanda Rani Kulup cukup terkenal dengan gelaran Raja Report kerana dia merupakan orang paling banyak membuat laporan polis iaitu melebihi 1,000 laporan yang telah dibuatnya.

Jenis-Jenis Motosikal Legenda Suzuki di Malaysia dalam Kenangan

SANGAT menyedihkan apabila mendapat tahu Suzuki Malaysia terpaksa menutup operasi pengeluaran di negara ini selepas berdekad lama mewarnai industri motosikal tempatan dengan pelbagai jentera bertaraf legenda. Apa yang anda ingat tentang motosikal Suzuki?

Bagi peminat motosikal, terutama kapcai di Malaysia sekitar 80 dan 90-an, nama Suzuki memang begitu gah dan berdiri sebaris dengan jenama lain seperti Honda dan Yamaha. Malah, tiga jenama itu diakui mempunyai kekuatan tersendiri. Honda misalnya terkenal dengan jentera yang lasak, Yamaha hebat dengan kelajuan, dan Suzuki pula sudah tentu dengan tunggangan menyeronokkan.

Di bawah ini kami senaraikan motosikal legenda Suzuki yang banyak meninggalkan kenangan manis kepada peminat motosikal tempatan. Sayonara Suzuki! Terima kasih kerana pernah menjadi sebahagian sejarah automotif negara ini.

1. SUZUKI BEST 110

suzuki-best-110


Inilah rekabentuk awal moped 2-lejang 90-an di Malaysia. Menarik tentang Suzuki Best 110 ialah penampilan moped ini yang masih kuat dengan imej sebuah motosikal ‘Jepun’ menerusi gabungan desain skuter dan kapcai. Lihat saja rekabentuk bahagian depan (kapcai) dan belakang (skuter). Anda belum cukup true Suzuki jika tidak kenal Suzuki Best!

2. SUZUKI PANTHER


Tidak diketahui kenapa motosikal berkapasiti 150cc ini menjadi pilihan unit operasi jalanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar era 90-an hingga digelarkan ‘motor otet’. Otet merujuk kepada polis cawangan khas (SB) atau perisik.

Mungkinkah kerana Panther berwarna hitam yang memudahkan operasi serang hendap dilakukan? Ataupun PDRM mahu tampil berbeza daripada imej penunggang awam atau mat motor yang ketika itu kebanyakannya menunggang model Yamaha. Kehadiran penunggang Panther pada tengah malam atau awal pagi sering dianggap sebagai sengaja mahu ‘bakar line’ supaya mat rempit berlumba sebelum mereka diserbu dan dicekup oleh pasukan polis beruniform.

3. SUZUKI TXR150

suzuki-txr150


Selepas Panther, Suzuki mengeluarkan TXR150R yang juga terkenal dengan panggilan Jerung. Sebenarnya jerung merujuk kepada edisi khas yang datang dengan kowl depan seperti sirip jerung, tetapi istilah itu digunakan juga secara meluas sebagai merujuk kepada generasi kedua Panther. Kata nama ‘Jerung’ juga boleh jadi diambil daripada terjemahan Suzuki Shark 150 yang bermaksud jerung. Sangat mirip seperti Panther, tetapi antara identiti khas ketara Jerung ini ialah frem kelabu dan strip badan tertulis TXR150.

Kredit foto: Small Sun Custom

4. SUZUKI GAMMA

suzuki-gamma-150


Suzuki Gamma atau TXRr150 ialah generasi terakhir Panther dengan tanda nama TXRr pada strip badan. Model ini datang secara naked dan lebih diterima umum, terutama anak-anak muda berbanding model terdahulu. Di atas jalan, motor inilah lawan sebenar Yamaha RX-Z. Bagaimanapun, produksi Gamma cuma bertahan setakat 1997.

5. SUZUKI VS125

suzuki-vs-125


Inilah satu-satunya skuter yang menyebabkan ‘mat scoot’ semalaysia dipandang tidak puas hati oleh mat kapcai. Apa tidaknya, dengan kapasiti enjin 125cc, Suzuki VS125 mampu meninggalkan mana-mana kapcai standard secara senyap dan bersahaja.

Skuter VS125 juga mencetuskan penubuhan pelbagai kelab skuter di Malaysia yang terkenal dengan trend mewarnakan set badan motosikal menggunakan teknik berus angin (air brush). Tidak cukup mewarna, pemilik VS125 juga cenderung menambah set audio yang mampu menandingi kekuatan bunyi pembesar suara motor penjual aiskrim Mat Kool.

Kegilaan modifikasi mencecah ratusan hingga ribuan ringgit itu membuatkan pemilik VS125 sering dianggap sebagai anak orang kaya. Malah, ramai juga mengakui majoriti gadis yang menunggang VS125 berwajah cantik dan pandai bersosial.

6. SUZUKI RG SPORTS 110

suzuki-rg-sport-100


Jika mahu bercerita tentang kapcai Suzuki, tidak lengkap rasanya jika tidak menyebut Suzuki RG Sports 110, yakni jenama jentera dua roda yang pernah menempa kegemilangan di kalangan peminat motosikal tempatan sekitar era 1990-an.

Dikenali sebagai moped sempurna pada zaman kemuncaknya, sebutlah apa saja tentang RG Sports, segalanya sentiasa superior berbanding lawan dalam kelas sama. Apa tidaknya, RG-Sport ialah moped pertama yang datang dengan ciri yang mendahului zaman seperti meter rpm, penyerap hentak tunggal atau monoshock, transmisi 5-kelajuan dan penampilan casis deltabox dan peletak kaki belakang jenis gantung, termasuk fitur tipikal motosikal 2-lejang seperti brek cakera depan.

7. SUZUKI FX125

suzuki-fx125


Ketika pertama kali dilancarkan pada 1998, Suzuki FX125 bagaikan makhluk asing yang baru turun dari angkasa. Dalam kelas sama, motosikal ini nyata mendahului zaman. Sebagai rekod, FX125 ialah moped 4-lejang pertama yang datang dengan transmisi manual 5-kelajuan (juga dipanggil klac basah atau mati), termasuk anjakan transmisi jungkit balik (1 depan, 4 belakang). Tidak cukup dengan itu, FX125 tampil dengan teknologi DOHC dan sistem penyejukan minyak.

FX125 dikeluarkan pada tahun sama Yamaha mengeluarkan moped 2-lejang legendanya, 125Z. Mungkin kerana ciri 4-lejang yang sinonim sebagai motosikal tidak laju dan kurang ‘ganas’ membuatkan FX125 kurang laris di pasaran. Tambahan pula harganya yang agak mahal, menghampiri harga sebuah naked bike seperti RX-Z.

Namun, di pasaran motosikal terpakai, jangan terkejut melihat harga FX125 tidak pernah kurang daripada angka RM3,500 walaupun usia sudah mencecah 18 tahun! Jika Y125Z terkenal dengan julukan King of Moped, FX125 pula  ialah Queen of Moped.

8. SUZUKI FXR150

suzuki-fxr150


Ini ialah abang kepada FX125 yang juga muncul mendahului zaman. Apa yang pertama tentang Suzuki FXR150? Inilah sports bike 4-lejang pertama di Malaysia dengan teknologi DOHC. Penampilan paling ‘gila’ dilakukan Suzuki ke atas sports bike ini ialah meter digital yang sehingga kini pesaing lain masih teragak-agak mahu menggunakannya!

Sekali lagi harga menjadi isu utama yang menghalang peminat motosikal memiliki jentera ini. Lagipun FXR150 cuma sebuah sports bike 4-lejang. Pada zaman itu, kecuali EX-5 dan seangkatan dengannya, motosikal 4-lejang lain memang susah mendapat tempat di hati pembeli jentera dua roda Malaysia.

9. SUZUKI RGV120

suzuki-rgv20


Suzuki RGV120 ialah kapcai yang dikeluarkan susulan populariti RG Sports 110. Muncul dengan rekabentuk badan mirip RG Sports, cuma lampu utama RGV120 berbentuk bulat seperti model Suzuki GSX110, manakala lampu belakang juga direka kecil, sekali gus memberikan profil kompak berbanding model RG Sports yang lebar dan leper. Semua model RGV120 didatangkan dengan  transmisi manual sepenuhnya berserta 6-kelajuan.

10. SUZUKI RC80

suzuki-rc80


Diperkenalkan lewat 80-an dan antara pesaing kepada barisan Honda cub. Bersama rekabentuk tradisional kapcai 80-an, Suzuki RC80 dibekalkan enjin 2-lejang dan transmisi automatik 4-kelajuan. Motosikal ini sangat digemari pomen dan anak muda kerana mudah dibikin selain ciri kemerduan bunyi ekzos ‘semprit’ yang dihasilkan.

Kisah Hantu Purdah Yang Pernah Menggemparkan Tanah Air


KISAH 
hantu purdah atau digelar hantu Kum Kum di sesetengah tempat pernah menggemparkan satu Malaysia pada satu ketika dahulu sehinggakan akhbar tempatan turut pernah melaporkan tentang beritanya. Nama hantu Kum Kum turut digunakan kerana dipercayai hantu purdah tersebut gagal untuk memberi salam dengan cemerlang. Setiap kali mahu mengucapkan ‘Assalamualaikum’, ianya akan berbunyi ‘Assalamualaikum… kum… kum…’.

gambar sekadar hiasan

Hantu purdah mengisahkan tentang seorang makwe yang sedang belajar di salah sebuah IPT di negeri Pantai Timur. Oleh kerana sering dipinggirkan kawan-kawan kerana memiliki rupa yang tidak menarik, dia telah menuntut ilmu hitam dari seorang dukun untuk memperolehi wajah yang cun. Antara syarat utama ilmu tersebut adalah dia tidak boleh melihat wajahnya di dalam cermin selama 44 hari. Setelah beberapa hari menuntut, kesan ilmu hitam tersebut mula berhasil. Maka ramailah lelaki termasuk suami orang yang tertawan dan jatuh hati melihat wajahnya yang cantik. Oleh kerana terlampau suka, dia terasa ingin sekali melihat bagaimanakah rupanya yang cantik itu. Dia terlupa akan syarat ilmunya lalu melanggar perjanjian. Mukanya yang cantik secara tiba-tiba telah bertukar menjadi hodoh. Oleh kerana malu dengan wajahnya yang hodoh, dia mula memakai purdah supaya dapat melindungi kecacatan mukanya dari diketahui orang ramai. Bagi memulihkan semula wajahnya yang hodoh itu, dia perlu meminum darah 44 orang anak dara.

gambar sekadar hiasan

Maka bermulalah kisah tentang hantu purdah yang berkeliaran di Malaysia dengan menaiki kereta Perodua Kancil berwarna merah sambil memakai purdah hitam. Dia akan singgah ke setiap rumah yang mempunyai anak dara dengan menyamar sebagai penjual bunga atau kain. Hantu purdah akan mencakar muka anak dara dengan kukunya yang tajam lagi panjang lalu menghirup sehingga habis darah yang keluar.

Kisah hantu purdah ini sememangnya menjadi satu igauan hitam kepada semua rakyat Malaysia ketika itu terutamanya anak gadis. Pelbagai cerita tentang hantu purdah disampaikan dari mulut ke mulut.

“Hantu purdah sekarang ada kat Kuantan. Dia tengah cari mangsa yang ke 20.”

“Hantu purdah ni tak takut dengan Al-Quran, pasal dia asal manusia.”

Hantu purdah ni muka dia hodoh sebelah. Macam isi terbakar dan berulat. Sebelum hisap darah, dia akan selak purdah dia untuk tunjukkan muka.”

“Kalau dengar orang bagi salam bunyi kum dia bergema dua kali, jangan buka pintu. Itu bukan orang, itu hantu Kum Kum.”

Kisah hantu purdah ini terus kekal misteri sehingga sekarang tanpa sebarang petunjuk atau jawapan diperolehi di sebalik kisahnya. Sesetengah orang percaya, kisah hantu purdah ini diada-adakan ibu bapa yang mahu anak gadis mereka pandai menjaga diri dan tidak pulang lewat malam ke rumah. Terdapat juga sesetengah orang yang percaya ianya adalah salah satu usaha jahat dan benang halus untuk memberi nama buruk kepada Islam terutama kepada wanita yang berpurdah.

Cerita tentang kewujudan hantu susu turut dipercayai direka dengan tujuan yang sama. Bezanya, hantu susu mengunjungi rumah ke rumah dan meminta susu untuk anaknya. Barang siapa yang memberi susu akan dilepaskan dan barang siapa yang tidak memberi akan dibunuh. Selain itu, cerita hantu karipap yang berupa seorang makcik berbaju kurung Kedah sambil memakai selendang juga tidak pernah dapat dibuktikan kesahihannya. Dikatakan hantu yang datang menjual karipap pada lewat malam dengan mengetuk tingkap-tingkap asrama ini direka supaya semua pelajar tidak tidur lewat dan berjaga malam.

Wallahu a’lam.