Senarai Filem Seram Malaysia Terbaik Sepanjang Zaman

MALAYSIA memang sering dilambakkan dengan filem seram. Bagaimanapun majoriti karya yang disogokkan kepada penonton kurang memuaskan. Kebanyakan filem seram tempatan mengulangi formula serupa ataupun lebih menjual nama-nama pelakon popular. Namun masih terdapat naskhah yang boleh dibanggakan.

THN_4891-c

Pemilihan kami tidak berlandaskan tahap keseraman semata-mata mahupun kekerapan penampakan hantu di depan kamera. Penilaian dibuat berdasarkan keaslian dan keunikan jalan cerita, persembahan para pelakon, pengaruh dan impaknya terhadap industri perfileman seram tanah air serta kekuatannya untuk diangkat sebagai filem seram berpengaruh bersifat malar segar.

Jwanita (2015)

jwanita-jpg-cFOTO: FIFIEY LYCHEE MARATION

Mempertaruhkan Maya Karin sebagai teraju filem seram tidak pernah gagal. Namun menerusi Jwanita, Maya kurang menyerlah tetapi ia tidak menggugat perjalanan cerita ini. Biarpun jalinan plot agak bercelaru, tetapi filem arahan Osman Ali ini masih mempunyai kelebihan tersendiri.

Ia agak lari daripada tema seram klise dan lebih menjurus terhadap genre psiko seram. Marsha Milan yang memegang watak pembantu rumah sangat memberangsangkan dan babak ketika dia terapung di dalam bilik dan melayang ke dinding benar-benar menjadi. Begitu juga Datin Paduka Umie Aida yang memegang peranan dukun.

Anak (2008)

2247780541_c1127852e2_oFOTO: BUDIEY

Tiga pelakon hebat disatukan dalam sebuah naskhah ini; Erra Fazira, Ida Nerina dan Azizah Mahzan. Anak yang diarahkan Barney Lee dengan lakon layar oleh Michael Ang menyajikan penonton dengan gangguan dan serangan roh janin yang digugurkan Nita (Erra) yang kemudiannya dijadikan Kay (Ida Nerina) medium pemujaan untuk kekal cantik.

Penonjolan hantu (budak kecil) kurang memberi impak kejutan kepada penonton. Bagaimanapun naratif filem ini yang kemas dibantu oleh kecemerlangan mainan watak setiap pendukungnya menjayakan filem ini.

Mantra (2010)

masterpiece-mantra-copy-jpg-cFOTO: GETMOVIE

Seperti judulnya, filem ini sarat penggunaan mantera yang kurang jelas maksudnya menjadikan ia tidak sesuai ditonton kanak-kanak. Mantra merupakan naskhah seram yang agak berat dan sensitif kandungannya.

Bagaimanapun babak-babak suspen masih disampaikan dengan komersial bagi memudahkan kefahaman penonton. Penceritaannya juga kemas dengan kesudahan tidak diduga penonton.

Toyol (1981)

toyol-1981FOTO: CARIGOLD

Dialog epik: “Bachok… Ke mari Bachok.” Masih terngiang-ngiang seruan si toyol kepada Bachok. Filem ini jika ditonton semula hari ini mungkin kurang seram kerana kekangan teknologi mencipta efek pada masa itu. Namun babak pembukanya masih meremangkan bulu roma terutama adegan ketika pocong bangkit di tanah perkuburan.

toyol1FOTO: JUST A GURLZ NOT A PRINCESS

Dibintangi Allahyarham Sidek Hussin sebagai teraju utama, Toyol merupakan antara ceritera tahyul/mistik termasyhur dalam kehidupan orang Melayu. Cuma cara toyol dipersembahkan di dalam filem ini kurang menggerunkan penonton.

Puaka Tebing Biru (2007)

posterpuakatebingbiruFOTO: MESRA.NET

Buah tangan Osman Ali jarang mengecewakan termasuklah karya seram ini. Puaka Tebing Biru memanipulasi aspek keseraman dari sudut emosi patah hati, kekecewaan dan kesedihan. Ia bukan semata-mata cerita tentang hantu yang menakut-nakutkan manusia dan membunuh demi menuntut dendam.

Filem ini lebih menggoncang rasa simpati penonton kepada watak Ayu (Umie Aida) yang mati terjatuh ke dalam perigi selepas melahirkan anak luar nikah bersama kekasihnya, Mohsen (Fahrin Ahmad). Peranan Ratna (Nasha Aziz) yang juga sahabat baik Ayu di kampung adalah bagi merungkai segala misteri dan melenyapkan gangguan yang dialaminya.

381829032_4aa26d8322_o-jpg-cFOTO: BUDIEY

Menerusi filem ini, Umie Aida turut disolek dan diubah menjadi hantu. Tidak ketinggalan, babak Fahrin tidak berbaju dan mandi dengan berkain pelikat yang menjadi bualan ramai.

Susuk (2008)

susuk-posterFOTO: WIKIPEDIA

Ramai bintang besar dalam filem ini. Kelibat Allahyarham Yasmin Ahmad yang memegang watak sampingan sebagai jururawat juga muncul dalam satu babak. Susuk secara dasarnya tidak seram. Ia lebih terhadap pendedahan amalan syirik dan paparan mistik tentang susuk.

Naratif filem ini diselang-seli dengan situasi semasa dan imbas semula. Teknik penyampaian tersebut mengelirukan segelintir penonton. Namun, ia satu pendekatan bijak untuk mengajak penonton merungkai teka-teki yang dipertontonkan babak demi babak.

Lakonan mantap semua pendukung watak; Diana Rafar yang bersahaja dan Ida Nerina dengan mainan ekspresi mengesankan, berhasil memberi nyawa terhadap keseluruhan aspek filem ini.

Cerita Hantu Malaysia (2014)

crt-jpg-cFOTO: MOVIESINFOBSYOKV2

Karya Pierre Andre yang memecahkan tiga cerita pendek dalam satu filem ini (omnibus) sebenarnya ringkas. Begitupun cara ketiga-tiga cerita itu dipersembahkan berjaya merancakkan debar setiap penonton.

Dimulai dengan kisah seorang pengawal keselamatan yang baru bekerja di sebuah asrama, Cerita Hantu Malaysia (CHM) mengetengahkan legenda seram popular dalam masyarakat negara ini. Kisah tentang asrama berhantu dan pengawal keselamatan yang diganggu ketika membuat rondaan di waktu malam sudah klise kepada semua.

Bagaimanapun, dalam CHM, kisah repetitif itu disampaikan dalam mood yang sangat baik. Ditunjangi Kamarool Yusoff yang semula jadi membawa peranan pengawal keselamatan, cerita pertama sahaja mampu membuatkan penonton menutup muka dan berasa cemas.

Memasuki cerita kedua tentang seorang pemandu bas (Kamal Adli) ditemani seorang ustaz yang perlu menghantar ‘sekumpulan makhluk halus’ ke sebuah hutan jauh di Gerik, Perak, tahap keseraman ditingkatkan. Menariknya CHM adalah keupayaannya mengundang takut penonton berdasarkan suasana, ekspresi pelakon dan bunyi.

Ia tidak semata-mata bergantung pada penampakan lembaga atau hantu di depan kamera bagi membuat penonton menjerit. Malah penampakan hantu di depan kamera sangat minimum, membuatkan ia lebih misteri.

Cerita terakhir dalam CHM mengisahkan tentang empat sekawan dengan dua daripadanya merupakan suami isteri. Dalam perjalanan mencari rumah seorang dukun bagi mengubati kerasukan isterinya, seorang suami dan dua sahabat lelakinya ‘diusik’ penunggu kawasan yang menggagalkan usaha mereka menemui jalan yang betul.

Kemuncak seram CHM dipertontonkan dalam cerita ketiga dengan pengakhiran memuaskan.

Histeria (2008)

histeria_option2_v6FOTO: FIDALIAS

Sebuah filem ‘cemas’ yang sebenarnya perlu diberi peluang dan tidak dinilai berdasarkan judulnya sahaja. Histeria menggabungkan bakat-bakat ranum ketika itu; Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya dan Yana Samsuddin yang memainkan peranan gadis sekolah yang bersahabat di sebuah asrama perempuan.

Kisah kerasukan dan pelajar asrama perempuan mengalami histeria tidak asing dalam pengetahuan masyarakat tempatan. Maka ia dijadikan sandaran untuk mengumpan penonton menyaksikan karya seram arahan James Lee ini. Babak-babak seram dipertontonkan dengan baik biarpun kebanyakannya mudah ditelah penonton.

Histeria sedikit menonjol dan jauh berkualiti jika dibandingkan dengan formula cerita seram yang menggunakan asrama dan sekumpulan pelajar diganggu makhluk halus gara-gara kenakalan. Penamat filem ini juga menambah misteri dan membuatkan penonton berteka-teki tentang kejadian sebenar.

Trauma (2004)

trauma_01FOTO: WIKIWAND

Mengapa filem genre psiko thriller ini layak disenaraikan sebagai filem seram tempatan terbaik sepanjang zaman? Nasha Aziz jawapannya!

Trauma sangat menakutkan, malah jauh menggerunkan daripada filem berkisar hantu. Watak Jeslina yang dilakonkan Nasha berjaya membayangi penonton biarpun selepas lebih sedekad filem ini ditayangkan. Tidak keterlaluan dikatakan Trauma merupakan antara karya terbaik pernah dihasilkan Aziz M. Osman.

Perwatakan ‘baik’ dan lembut Jeslina berjaya meracuni fikiran Huzir (Azhar Sulaiman) dan Nadia (Sharifah Aleya) bagi menghantar Nurul (Amy Mastura) ke hospital sakit jiwa bagi menjalani rawatan. Kemuncak filem ini yang menyaksikan ‘pertarungan’ antara Nurul dan Jeslina sangat memukau.

Kecemerlangan Nasha dalam filem ini juga telah memberikannya kejayaan dengan anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM17 dan Anugerah Skrin TV3 ke-7. Sharifah Aleya turut meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada FFM17 menerusi filem ini.

Dendam Orang Mati (2014)

7dendamorangmati00_450FOTO: CINEMA.COM

Lisa Surihani menidakkan keraguan orang yang menyangka dia tidak mampu menggalas watak berat dalam genre seram. Menerusi Dendam Orang Mati, watak Lena yang dipegang Lisa meraih pujian ramai sehingga tercalon untuk trofi Pelakon Wanita Terbaik pada FFM27 (tewas kepada Fazura) dan memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2015.

Sepanjang filem ini, penonton mengikuti perjalanan Lena yang tinggal berseorangan di sebuah flat selepas hilang ingatan akibat kebakaran yang mengorbankan anak lelakinya. Suami Lena, Shahrul (Fizz Fairuz) yang mempunyai isteri kedua, Mia (Miera Liyana) datang ke rumah tersebut secara berkala bagi memantau perkembangan isteri pertamanya itu.

Dendam Orang Mati menyajikan keseraman tanpa henti sehingga membuatkan penonton berasa penat selepas ia tamat. Keadaan mental Lena yang disamari realiti mahupun imaginasi menggerakkan naskhah ini sehingga ke penghujung sekali gus menimbulkan teka-teki kepada penonton tentang situasi sebenar.

Pontianak (1957)

malay2FOTO: STRAITSTIMES

Filem seram klasik yang menjadi titik tolak terhadap industri perfileman seram tanah air. Keunikan filem ini adalah jalan ceritanya yang sangat berbeza dengan legenda popular pontianak. Dalam filem ini, pontianak bukanlah hantu perempuan yang mati akibat dibunuh ketika hamil.

04-3wajahmm1FOTO: FILEM KLASIK MALAYSIA

Pontianak pada tahun 1957 ini menyaksikan transformasi fizikal seorang wanita bernama Chomel (Datuk Maria Menado) yang membesar sebagai gadis hodoh dan bongkok. Kemudiannya membuat ramuan yang menjadikannya cantik sehingga dapat berkahwin dengan anak penghulu, Othman (Allahyarham M. Amin).

Suatu hari Othman dipatuk ular dan keadaan tersebut memaksa Chomel menghisap keluar racun dan darah di kawasan patukan. Maka berlakulah pelanggaran pantang. Akibat keenakan merasai darah, Chomel menghisap darah Othman sehingga suaminya meninggal dunia. Chomel kemudiannya berubah menjadi pontianak dan mula membunuh untuk mendapatkan darah.

06-pontianakFOTO: FILEM KLASIK MALAYSIA

Naskhah ini juga mengharumkan nama Maria sebagai antara primadona filem Melayu. Dia juga merupakan ratu filem seram tanah air yang pertama. Susulan kejayaan Pontianak, Maria kemudiannya muncul dalam sekuelnya menerusi Dendam Pontianak (1957) dan Sumpah Pontianak (1958).

Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010)

humhehgtoauakgqrrnmafhgqz3uFOTO: TORRENT BUTLER

Antara filem Mamat Khalid yang meraih populariti di luar jangkaan. Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) boleh diklasifikasikan sebagai filem komedi seram yang sebenarnya langsung tidak menceritakan tentang hantu. Teknik manipulasi watak sehingga mengelirukan penonton menjadikan HKLBR sebuah cerita dengan penceritaan yang asli.

Meskipun dialog dan pembawaan watak-wataknya lebih menggelikan hati, namun apabila babak seram mengambil alih, mood penonton berubah serta-merta, apatah lagi apabila hantu Kak Limah dimunculkan secara tiba-tiba yang menggandakan rasa suspen.

Chermin (2007)

chermin_poster-jpg-cFOTO: EDITHOUSE

Sebuah cermin sakti berpenunggu merasuk seorang wanita yang dibelenggu kemurungan selepas kemalangan. Chermin lakonan Deanna Yusoff sebagai Mastura dan Natasha Hudson sebagai Nasrin sangat membekas ingatan penonton. Penceritaannya asli dan tersendiri, tidak mengulang pakai cerita-cerita mistis klise sedia ada.

Watak Mastura yang ‘dicerminkan’ sebagai pengamal ilmu hitam begitu bernyawa sekali gus meluapkan benci penonton. Bagaimanapun apabila plot diputar ke latar masa 100 tahun sebelum generasi Nasrin, penonton dibawa menyelami hidup Mastura dan penderitaan batin yang dilaluinya sehingga menerbitkan rasa simpati.

Kecemerlangan Natasha dalam filem ini juga telah melayakkannya menggenggam trofi Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20.

Pontianak Harum Sundal Malam (2004)

phsm-posterFOTO: PESONA PICTURES

Tajuk filemnya sahaja sudah mencerminkan kisah yang ingin dipertontonkan kepada orang ramai. Legenda pontianak yang asalnya seorang perempuan hamil yang mati dibunuh, kemudiannya bangkit dari kematian menjelma sebagai pontianak bagi melunaskan dendam dan pembalasan adalah dongeng seram yang sangat popular.

Datin Paduka Shuhaimi Baba, selaku pengarah, menggarap Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM) berdasarkan dua latar masa, era 1940-an dan zaman semasa (sekitar era 2000). Penghasilan latar masa ketika kegemilangan Meriam (Maya Karin) sebagai primadona (gelaran anugerah istana) disampaikan dengan penuh menarik dan teliti. Kostum, set penggambaran dan pengucapan dialog selari dengan sela masa ketika itu.

Mungkin segelintir penonton kecewa kerana sebahagian besar cerita ditumpukan pada latar masa semasa. Ia barangkali membunuh ‘feel‘ penonton yang terpesona dengan kemunculan pontianak ketika latar masa silam.

Bagaimanapun, Maya Karin yang turut membawa watak Maria cemerlang memainkan peranan sebagai pontianak sehingga melayakkannya memegang trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-49 (2004) di Fukuoka, Jepun.

Villa Nabila (2015)

villa_nabila-749906402-large-jpg-cFOTO: FILM AFFINITY

Percubaan sulung adik Syamsul Yusof, Syafiq Yusof mengarah filem seram ternyata membuahkan hasil. Villa Nabila yang diadaptasi daripada legenda popular Johor Bahru digarap kemas dan berjaya menjelmakan misteri di sebalik kediaman yang tidak diketahui kebenarannya.

Malah tayangan Villa Nabila juga menepati waktu ketika seorang remaja dikatakan hilang ketika merayau-rayau di vila tersebut sehingga menggemparkan negara.

Uniknya tentang filem ini adalah cara ia disampaikan menerusi paparan dokumentari di awalnya disusuli cereka yang dihidupkan para pelakon. Ia membolehkan penonton menyelami kisah sebenar misteri yang membelenggu banglo tersebut dan sejauh mana kesahihan kisah-kisah mistik berkaitnya.

Jangan Pandang Belakang (2007)

jangan-pandang-belakangFOTO: WIKIPEDIA

Filem seram arahan Ahmad Idham dengan lakon layar oleh Pierre Andre ini adalah pencetus terhadap lambakan filem seram selepas tahun 2007. Kejayaan Jangan Pandang Belakang (JPB) sehingga memecahkan rekod pecah panggung yang sebelum itu dipegang filem Sembilu (1994) telah menyenaraikan ia sebagai salah satu filem seram tempatan terbaik pernah dikeluarkan.

Selepas hampir sedekad ia ditayangkan, JPB berjaya menjadi filem seram klasik tanah air yang sangat diminati. Menjadikan saka sebagai fokus, JPB yang dilakonkan Pierre Andre, Intan Ladyana, Khatijah Tan dan Ruminah Sidek sememangnya mempunyai formula lengkap untuk karya bergenre seram.

Selingan humor juga diselit dengan bijak bagi menyurutkan debar penonton. Siapa boleh lupa dengan persembahan hebat Ruminah Sidek dalam filem ini. “Ha? Darma opah?” Dialog Ruminah yang menggeletek hati penonton. Belum lagi aksi Ruminah mencangkung di lantai dapur sambil makan dengan gelojoh.

Babak paling mencemaskan semestinya ketika Pierre mendukung neneknya (Ruminah) ke dalam bilik, tetapi sebenarnya neneknya sedang nyenyak tidur di atas katil. JPB memang seram untuk mereka yang sukakan filem yang memunculkan hantu dengan kerap.

Munafik (2016)

Munafik poster

Sebuah karya seram Syamsul Yusof dan baru ditayangkan awal tahun ini. Munafikmerupakan pemegang rekod pecah panggung tertinggi dengan kutipan RM19 juta, meleburkan rekod Polis Evo (RM17.4 juta).

Susulan kejayaan Khurafat, penonton meletakkan jangkaan tinggi terhadap Munafik. Ternyata ia tidak mengecewakan, malah dari segi penjiwaan watak, Munafik lebih terkesan berbanding Khurafat. Lakonan hebat Nabila Huda sebagai Maria berjaya menutup semua cela filem ini.

Babak Maria memandu seorang diri dengan keretanya terhenti di dalam sebuah terowong sangat mendebarkan. Apabila dia diganggu oleh lembaga kanak-kanak dan sebiji bola yang melantun-lantun dengan sendirinya, penonton sudah kecut perut.

Bagaimanapun terdapat beberapa persamaan dan pengulangan formula yang ditampilkan Syamsul dalam Munafik. Babak di dalam bilik mayat dan mendukung mayat hampir menyamai situasi di dalam filem Khurafat. Cuma Munafik menambah beberapa adegan seram yang lebih epik, terutama ketika Syamsul (watak Adam) menggali semula kubur isterinya di waktu malam dan membawanya pulang ke rumah.

Sekali lagi Syamsul bermain dengan psikologi penonton apabila memutar penceritaan dengan klimaks dan kesudahan di luar sangkaan penonton.

Khurafat: Perjanjian Syaitan (2011)

mv5bmgy2ytbkodmtotm4my00nwi3ltlkntytytvinjgyztuynzjixkeyxkfqcgdeqxvymjgzndqymje-_v1_FOTO: IMDB

Setakat ini, dalam banyak-banyak filem seram tempatan, Khurafat masih menduduki senarai teratas. Percubaan sulung Syamsul Yusof menggarap filem seram tidak disangka-sangka menjadi dengan sangat baik.

Meskipun ada yang menyifatkan Khurafat adalah filem seram klise yang memomokkan penonton dengan penampakan lembaga, tetapi penceritaan dan cara ia dipersembahkan membuatkan Khurafat lebih berkualiti berbanding karya seram tanah air yang lain.

Momen-momen seramnya juga berjaya membuatkan penonton menjerit. Sepanjang filem penonton menekup muka dan mencuri tengok menerusi celahan jari-jemari.

Syamsul yang juga memainkan watak utama sebagai Johan bergandingan bersama Liyana Jasmay (Aishah) mengetengahkan isu penyelewengan akidah menerusi medium jin dan syaitan yang akibatnya memakan diri. Naratif Khurafat disusun cermat dengan penceritaan yang jelas.

Bagaimanapun klimaks dan kesudahan filem ini merupakan kejutan kepada penonton dan elemen terhebat yang dipunyai filem ini. Kebijaksanaan Syamsul membohongi penonton dengan teknik twist penceritaan dan perwatakan membuatkan penonton melangkah keluar panggung dengan pengalaman tontonan yang sangat memuaskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *