Jamal Abdillah Perkenal Isteri Setelah 11 Bulan Kahwin.

SELEPAS 11 bulan berkahwin, Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah memperkenalkan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 24, buat pertama kali kepada pihak media.
“Saya rasa hari ini masa sesuai untuk perkenalkan isteri, tak salah rasanya kan. Lagipun, dia selalu bersama saya ke mana-mana saja,” ujar Jamal kepada Mangga Media ketika ditemui di sidang media persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada Selasa.
Ini merupakan perkahwinan keempat beliau. Dalam perkahwinan kedua dan ketiga beliau dikurniakan dua cahayamata lelaki, Osama Yamani, 17 dan Zaki Yamani, 10.
Pelantun lagu hit Azura itu menceritakan jarak usia 35 tahun bukanlah satu masalah besar dalam perkahwinan.

“Awalnya agak sedikit sukar jugalah nak menyesuaikan diri disebabkan jarak usia, dia sangat muda.
“Lagu-lagu saya pun dia tak tahu. Tapi, lama-lama dia dah suka lagu-lagu saya dan dapat menyesuaikan diri dalam kerjaya saya.
“Kami pun tak adalah berkenalan sangat. Kami diperkenalkan seorang kawan. Lama jugalah dalam tiga, empat bulan saya amhil masa untuk mendekati secara rapat,” ungkap Jamal.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada April tahun lepas. Majlis pernikahan berlangsung di kediaman keluarga Jamal di Ipoh, Perak.
“Pernah satu kejadian, isteri kena halau dengan peminat-peminat perempuan semasa nak bergambar dengan saya.
“Lucu juga tetapi nasib baik dia faham kerja saya,” cerita Jamal.
Zai Izzati pula mengakui cukup memahami kerjaya suaminya dan tidak berkecil hati dengan kerenah peminat fanatik.
“Saya tak rasa marah atau kecil hati pun, saya faham kerja Datuk. Saya tak kisah pun kalau peminat nak bergambar dengan Datuk tanpa saya,” jelas Zai Izzati.
Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah akan menghiburkan peminat sempena persembahan minggu setiausaha di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada 25 April depan.
Sumber : Mangga Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *