Cemas, Enjin Pesawat Tertanggal!!

Honolulu: Penumpang dalam pesawat Boeing 777-222 milik United Airlines dari San Francisco terpaksa menahan debar, cemas selama lebih setengah jam selepas komponen satu enjin jatuh ketika pesawat berkenaan sedang menghampiri Hawaii, semalam.
Kejadian berlaku ketika pesawat itu berada di atas Lautan Pasifik pada kedudukan 35 minit sebelum dijadual mendarat di Honolulu apabila penumpang berasa pesawat bergegar kuat.
Menurut laporan media Amerika, melalui tingkap penumpang mereka boleh nampak komponen penutup enjin berkenaan sudah tiada, manakala juruterbang segera membuat panggilan untuk melakukan pendaratan cemas.
 Seorang penumpang, Haley Ebert, memberitahu New York Times, dia terdengar bunyi hentaman yang kuat ketika sebahagian komponen penutup enjin berkenaan tercabut.
 “Penumpang berpusu-pusu datang ke sebelah kami untuk melihat apa yang berlaku.
“Kami nampak komponen penutup enjin, termasuk skru dan nat berterbangan. Ada yang jatuh ke laut.
“Satu skru terkena sayap dengan bunyi yang kuat.
“Ia saat yang amat mencemaskan,” katanya.
Seorang penumpang menyatakan pesawat bergegar kuat.
Pesawat itu bagaimanapun mendarat dengan selamat di Honolulu kira-kira jam 12:40 tengah hari, waktu tempatan dengan pasukan darat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam kenyataannya, United Airlines menyatakan pesawat itu dalam penerbangan dari San Francisco ke Honolulu, membuat pendaratan cemas selepas komponen penutup enjin tercabut.
“Juruterbang kami melaksanakan protokol yang perlu bagi mendaratkan pesawat itu dengan selamat,” kata kenyataan itu.
Pesawat berkenaan selamat mendarat
Menurut laporan Business Insider, pesawat itu dibeli United Airlines pada 1994, menjadikannya antara pesawat pertama Boeing 777s, pesawat dua enjin terbesar dunia.
Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *