Balik raya – Suami isteri perlu tolak-ansur

ROKIAH menarik muka empat belas apabila suaminya, Salleh tetap bertegas untuk menyambut hari raya di kampung ibu bapanya.

Sejak berkahwin lima tahun lalu, itulah hakikat yang terpaksa dilalui Rokiah kerana sikap Saleh yang tidak mahu bertolak ansur. Rokiah tidak kisah untuk menyambut Adilfitri di rumah mertua, tetapi bukan setiap tahun tanpa penggiliran langsung.

Apabila dipujuk agar sekali sekala berhari raya di rumah mertua, Salleh selalu memberi alasan konon ibunya akan menangis apabila salah seorang daripada anak-anak tidak berada di rumah pada malam hari raya.

Jika ibubapanya sudah tiada, Rokiah pun tidak berkira sangat, tetapi mereka masih hidup dan berharap sekali-sekala Rokiah dapat menyambut pagi Syawal bersama mereka.

Meskipun pada awal perkahwinan, Rokiah dapat bersabar, namun sejak akhir-akhir ini, dia merasa Salleh bertindak tidak adil terhadap dia dan ibu bapanya.

Kesudahannya, Rokiah dan Salleh bermasam muka sehingga hari raya selepas berlaku pertengkaran kecil antara mereka.

Menurut Pengarah Pusat Tarbiah An Najwa, Kapten (B) Ustaz Mohd. Najmuddin Elias, sikap saling bertolak-ansur antara suami isteri amat penting dalam membuat giliran pulang berhari raya.

Sikap berlapang dada serta tidak terlalu mementingkan `rumah siapa’ dapat mengelakkan timbul sebarang masalah.

“Cara terbaik ialah membuat giliran. Jika tahun ini di rumah ibu bapa isteri, tahun hadapan di rumah suami pula.

“Bagaimana pun, jika terpaksa berhari raya di rumah yang sama untuk dua tahun berturut-turut kerana sebab tertentu, perlulah satu pihak mengalah,” katanya.

Untuk memastikan urusan pulang ke kampung berjalan lancar, Ustaz Najmuddin mencadangkan agar suami isteri merancang percutian yang secukupnya seawal yang mungkin.

“Bagi isteri yang berkerja, rancang percutian dari awal amat penting agar tidak berlaku percanggahan dengan cuti suami.

“Jika rumah kedua-dua ibu bapa pula tidak jauh, bolehlah melawat kedua-duanya walau salah satunya pada hari raya ketiga atau keempat,” ujarnya.

Bagaimana pun, menurut Ustaz Najmuddin, tidak dinafikan ada pasangan yang bergaduh sehingga bercerai-berai kerana masalah penggiliran pulang berhari raya. Ini biasanya disebabkan oleh campur tangan ibu bapa dan keluarga sehingga menyebabkan anak-anak merasa serba salah untuk memilih berhari raya di mana.

“Masalah penggiliran balik raya biasanya timbul bukan disebabkan suami isteri tetapi keluarga kedua-dua belah pihak.

“Meskipun mereka boleh bertolak ansur, tetapi apabila timbul desakan daripada ibu bapa atau adik beradik, mereka akan berada di dalam dilema,” katanya lagi.

Menangani masalah tersebut, Ustaz Najmuddin menasihatkan agar ibu bapa tidak membebankan anak menantu dengan suruhan atau paksaan untuk pulang berhari raya.

Selain suami isteri, ibu bapa dan adik-beradik sepatutnya turut memainkan peranan agar timbul persefahaman dan tolak ansur tentang giliran berhari raya.

“Biarkan anak menantu yang tentukan giliran atau di mana mereka mahu beraya pada tahun ini. Apa yang penting, anggap semua ini sebagai satu perkara kecil kerana Aidilfitri yang penuh dengan kemuliaan tidak sepatutnya dicemari dengan masalah seperti ini,” katanya lagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *