“Cuba tengok baju si Mat tu, hari raya pun pakai baju bundle je!”Pengalaman dihina pakcik sendiri.

Malam ni aku terasa nak berkongsi pengalaman dihina oleh pakcik dan makcik sendiri 25 tahun lepas.

Dahulu memang kehidupan keluarga aku bukan lah senang.Arwah Abah aku bekerja sebagaiĀ  pekerja awam manakala mak aku berniaga nasi lemak.Aku mempunyai 5 orang adik beradik dan aku merupakan anak paling bongsu.Aku mempunyai seorang abang OKU dan abang aku tidak dapat menguruskan diri sendiri.Jadi kami adik beradik akan bergilir gilir menguruskan abang aku tu sementara mak dan arwah abah aku pergi mencari rezeki.

Kalau korang nak tahu, kehidupan aku sekeluarga bukanlah semewah sepupu-sepapat aku yang lain.Maklumlah makcik aku bekerja sebagai pegawai kerani, jadi sepupu-sepupu aku memang akan bergaya apabila Hari Raya menjelma.

Paling aku tak dapat lupakan aku dihina semasa umur aku 10 tahun.Arwah abah aku memang suka beli pakaian bundle dan aku pun sebenarnya tak kisah pun nak memakainya sebab aku tahu kemampuan mak abah aku waktu itu.Kami adik beradik memang tak pernah mintak pakaian cantik-cantik pun.Cukuplah sekadar bergaya sederhana.

Semasa kami saudara mara berkumpul di rumah arwah nenek, tiba-tiba pakcik aku bersuara,

“Cuba tengok baju si Mat tu, hari raya pun pakai baju bundle je!”

Lepas tu sorang makcik aku ni pulak cakap,

” Eh! Tadi masa Mat takde, sekor lalat pun takde dalam rumah ni, tapi bila masuk jer Mat lalat masuk, kau ni busuk lah Mat!”.

Ya Allah, aku betul-betul terkesan dengan kata-kata pakcik dan makcik aku itu, sehinggakan membuatkan aku terasa ingin kurang ajar dengan dia.Tapi aku fikir semula, nanti apa kata Abah jika aku kurang ajar dengan dia.Aku hanya berdiam diri tanpa bercakap sepatah kata pun.Dalam hati aku berkata,

“Takpe, tunggu lah satu hari nanti aku akan buktikan siapa aku”.

Alhamdulillah berkat kesabaran arwah abah aku dan mak aku, kami sekeluarga dapat membeli sebuah rumah lagi di Kinrara dan sebuah kereta Nissan Sunny yang ketika itu agak popular la kiranya.Kereta second hand je.

Tak semena-mena bila Pakcik aku dapat tahu abah dan mak aku beli rumah di Kinrara dan kereta siap datang rumah kami semata-mata nak bercakap,

“Kalau tak mampu tu buat cara tak mampu, jangan rasa bangga sangat dapat beli semua tu, takut satu hari nanti bank lelong ja!Kita ni kena ukur baju di badan sendiri!”.

Masa itu aku dah Tingkatan 3 memang tahap kesabaran aku tercabar. Tapi arwah abah aku memang seorang yang penyabar, dia diam je saat adik dia berkata sedemikian.

Tapi pada tahun ini, kalau korang nak tahu pakcik yang hina kami adik beradik dulu datang jumpa mak aku nak pinjam duit sebab perniagaan dia terjejas.Merayu-rayu nak pinjam duit. Ikut hati aku memang aku nak je cakap dengan mak aku jangan bagi pinjam, tapi itu lah, mak aku ni jenis lembut hati, bagi jugak dia duit.

Makcik aku yang hina aku busuk sebab lalat masuk rumah dia tu, ermm malas lah aku nak cerita perihal dia tapi yang pasti sekarang baru dia nak mengaku aku ni anak saudara dia. Sebab apa, sebab aku dah berjaya dalam perniagaan.Itu la jangan kita terlalu menghina bila tengok orang lain serba kekurangan.Hidup ini macam roda, adakala kita di bawah, adakala kita di bawah.

Alhamdulillah, kini aku sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan. Aku selalu pesan kepada anak aku, jangan kita terlalu bangga dengan kelebihan yang kita ada.Jangan kita terlalu yakin hidup kita sentiasa berada di atas. Sekali Allah uji kita dengan kesusahan masa tu kita sedar langit itu tinggi atau rendah.

Satu lagi aku nak pesan, korang yang dah ada anak buah tu jangan lah hina atau merendah-rendah mereka depan anak-anak kita. Mereka pun ada perasaan. Buat makcik pakcik bawang tu tak payah lah nak belek belakang baju anak-anak buah korang pakai cap apa, beg sekolah pakai cap apa, kasut cap apa. Janji berpakaian sudah.

Kredit : Cik Pirana via Metafora Anafora

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *