Jenis-Jenis Motosikal Terbaik untuk Penunggang Urban Harian di Malaysia

JIKA menetap atau bekerja di bandar raya seperti Kuala Lumpur, Shah Alam atau bandar-bandar lain sekitar Lembah Klang, memang tidak dapat dinafikan motosikal adalah antara pengangkutan paling ideal. Selain menjimatkan kos seperti bahan api, tol dan parkir, saiz motosikal yang kecil dan ramping turut memudahkan anda meredah trafik, sekali gus menjadikan masa perjalanan ke pejabat atau destinasi lebih singkat.

Namun, tidak semua motosikal sesuai ditunggang dalam persekitaran urban atau dalam bandar. Ada jenis motosikal cukup berkuasa yang sukar dikawal, dan ada pula menelan kos tinggi untuk tunggangan harian.

Sebagai contoh, motosikal di bawah bukan sahaja menjanjikan anda selamat tiba ke pejabat dengan lebih awal dan BERGAYA, tetapi anda juga tidak perlu berkorban diri kononnya sedang acah-acah berpuasa sunat setiap kali rakan sekerja ajak keluar makan tengah hari. Maklumlah, belanja untuk perut sudah banyak habis ke motor. 😅

SUPER MOPED

Yamaha Y15ZR: Dilengkapi enjin cukup berkuasa dan paling kesukanan (sporty la tu) dalam kelas, sekali gus menjadikan moped atau kapcai 4 lejang terulung keluaran Yamaha ini kegilaan ramai. Bukan setakat kuasa, fizikal Y15ZR yang kecil dan ringan memudahkan moped ini dikawal dan diparkir. Anda cuma perlu memilih tempat selamat dan sediakan ‘gari’ secukupnya.

Saya lebih suka Honda RS150R yang menawarkan enjin 150cc DOHC dan transmisi 6-kelajuan, tetapi Yamaha Y15ZR lebih menepati cita rasa kebanyakan peminat kapcai Malaysia.

HARGA: RM9,600
ALTERNATIF: Honda RS150R

 

GAYA TANPA KEDANA


Modenas CT115: Ada banyak pilihan moped bersesaran rendah (110-125cc) yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Secara keseluruhan, CT 115S keluaran Modenas mampu menawarkan kepuasan tertinggi buat pemiliknya. Bukan sahaja praktikal (dilengkapi pengecas elektrik serbaguna) dan ekonomikal dari segi penggunaan bahan api dan kos penjagaan, CT 115S juga didatangkan dengan stail menarikseperti moped pesaing lain yang ditawarkan pada harga lebih tinggi.

HARGA: RM4,857
ALTERNATIF: Modenas MR2, Honda Wave Dash, Lagenda 115 Fi, Suzuki Smash 115 Fi

LANGKAH DAN PULAS

Yamaha Ego Solariz : Di pasaran, memang tidak banyak pengeluar motosikal yang menampilkan rekabentuk gaya feminin. Jadi, apabila Yamaha menawarkan Ego Solariz di pasaran, rata-rata penunggang skuter ini terdiri daripada kalangan kaum hawa. Bukan setakat gaya, saiz jentera kecil dengan berat basah cuma 94kg berserta transmisi automatik CVT, membuatkan skuter ini mudah dikawal mereka yang baru mula beralih kepada jentera dua roda.

HARGA: RM5,548
ALTERNATIF: Yamaha Ego Avantiz, Yamaha NVX155, Honda PCX150

EKSEKUTIF KEMBARA


Modenas Elegan 250 : Inilah motosikal buat anda yang bekerja di bandar, tetapi menginap jauh. Skuter maxi hasil kerjasama Modenas dan Kymco Taiwan ini boleh dianggap sebagai pengganti terdekat kepada kereta. Bukan sahaja praktikal, ruang simpanan bawah pelana cukup besar untuk menyimpan aneka barang.

Elegan 250 ini juga selesa ditunggang dengan penampilan penampan angin besar dan tinggi berserta rekaan elegan dan mewah membuatkan skuter ini sangat berbaloi dibeli kebanyakan eksekutif muda kerana menawarkan harga mampu milik.

HARGA: RM13,600
ALTERNATIF: SYM VTS200, Kymco Downtown 250i

STREETBIKE RAKYAT


Modenas Pulsar NS200 : Pada harga sekitar RM9,000, motosikal ini menawarkan gaya dan kuasa sebuah streetbike mewah. Enjin 200cc dengan teknologi 3 palam pencucuh, Bajaj DTS-i bukan sahaja mampu dipecut mencecah kelajuan 150kmj (mengikut paparan meter), malah mampu memberikan penjimatan bahan api memuaskan dengan jarak perjalanan maksimum dianggarkan kira-kira 350km bagi sekali isian penuh.

Jika anda mahukan pengalaman tunggangan yang mirip sebuah sportbike, tetapi pada kos lebih rendah, Pulsar NS200 atau Pulsar RS200 (versi fairing) memang pilihan sangat berbaloi.

HARGA: RM9,200
ALTERNATIF: Modenas Pulsar RS200, Yamaha FZ150i, Kawasaki z250SL, Naza N5

 

SPORTBIKE PERTAMA


Yamaha YZF-R25 : Mahu bergaya seperti idola MotoGP, tetapi kurang bajet? Yamaha R25 ialah jawapannya. Hal rekabentuk mungkin agak subjektif untuk  didebatkan kerana pesaing lain turut menawarkan rekaan yang juga unik dan menarik. Namun, kelebihan R25 ialah nisbah kuasa yang ditawarkan berbanding nilai harga! Inilah yang membuatkan sportbike suku liter Yamaha ini nampak menggiurkan.

Bukan setakat ciri ergonomik yang sesuai untuk tunggangan harian, Yamaha R25 ini juga sesuai dibawa ke track day setiap hujung minggu tanpa perlu sebarang pengubahsuaian tambahan. Itupun jika teringin sangat merasa mengasah lutut seperti Marc Marquez atau Casey Stoner (eh, bukan VR46?)

HARGA: RM19,463
ALTERNATIF: Kawasaki Ninja 250, KTM RC250, Honda CBR250R

PENAKLUK URBAN

VERSYS X250 - 7 MOTOR URBAN
Kawasaki Versys-X 250: Sebutkan apa sahaja masalah tunggangan dalam bandar yang bakal dihadapi; sukar cari parkir, trafik terlalu sesak hingga menghalang jarak pandangan, jalan tidak rata dan berlubang, hujan lebat dan banjir kilat yang tidak menentu – Versys X-250 ada penyelesaiannya.

Selain sangat praktikal, sport tourer 250cc sulung Kawasasaki ini berkongsi enjin silinder berkembar 250cc bersama saudaranya Ninja 250 dan Z250. Dari segi kuasa masih mampu bersaing dengan sportbike 250cc yang lain. Jika mempunyai lesen B penuh dan masih berkemampuan, boleh pertimbangkan Honda CB500X sebagai alternatif.

HARGA: RM25,000
ALTERNATIF: KTN RS3, Honda CB500X

Sumber: Pandulaju

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *