7 Hantu Terkenal Dalam Masyarakat Melayu Yang Digunakan Untuk Menakutkan Kanak-kanak

Siapa yang tak takut hantu? Dalam masyarakat Melayu, kisah-kisah mengenai hantu ini bagaikan sudah sinonim dengan kehidupan seharian tambahan pula jika komuniti ini tinggal di kawasan kampung. Ada sajalah kisah bertebaran mengenai individu ini dikejar pocong, makcik itu mengamalkan ilmu penanggal dan ada pula yang dituduh mengamalkan ilmu hitam sehingga berlaku mudarat kepada orang lain.

Namun tak semua kisah hantu yang diceritakan orang tua-tua itu benar wujud belaka. Ada juga hantu-hantu ini sengaja direka demi menakut-nakutkan budak-budak. Oh ye ke? Berikut kami senaraikan tujuh hantu terkenal dalam masyarakat Melayu yang digunakan untuk menakutkan kanak-kanak: 

 

1. Hantu Kum Kum 

Gambar hiasan

Hantu Kum Kum ataupun dikenali sebagai Hantu Purdah dikatakan muncul apabila seorang wanita mengamalkan ilmu untuk mencantikkan wajah. Namun akibat melanggar pantang iaitu tidak boleh melihat cermin semalam 10 hari ataupun sebulan, wajah wanita tersebut berubah menjadi buruk.

Setelah itu, wanita berkenaan telah diarahkan gurunya atau bomoh yang terbabit untuk menyapu mukanya dengan darah daripada perawan untuk kembali cantik seperti sediakala. Ia dikatakan sangat menakutkan apabila mula mengetuk pintu rumah mangsa dan menyebut ‘kum-kum’ sambil mengenakan penutup muka.

Gambar hiasan

Pun begitu, menurut sumber Wikipedia, Kum Kum  merupakan cerita hantu moden yang mula terkenal pada tahun 1980-an. Ia dikatakan dicipta sebagai sindiran kepada Al-Arqam (kumpulan agama yang telah diharamkan) yang mana pengikut wanitanya memakai purdah yang menutup muka.

 

2. Hantu Susu

Gambar hiasan

Menerusi perkongsian di Forum Cari, kisah Hantu Susu ini dikatakan juga agak terkenal pada suatu masa dahulu. Ia difahamkan telah terjadi di sekitar Taiping apabila seorang ustazah sedang mengandung anak sulung. Ustazah tersebut diceritakan rajin mengaji pada setiap malam, namun malangnya dia mempunyai suami yang kaki judi.

Lebih menyedihkan ustazah tersebut akhirnya dikatakan meninggal dunia bersama bayi yang dikandung semasa sedang hamil. Suami yang gila ingin mendapatkan nombor ekor telah menggali semula kubur isterinya dan membelah perut si isteri untuk mengeluarkan bayi mereka untuk dibuat pemujaan.

Gambar hiasan

Oleh sebab itulah dikatakan roh ustazah tersebut tidak aman dan kerap merayau-rayau bersama bayi dikendongan sambil meminta susu untuk diberikan kepada anaknya. Pun begitu, difahamkan kisah ini sekadar rekaan semata-mata.

 

3. Hantu Lilin

Gambar hiasan

Kisah hantu ini dikatakan pernah menggemparkan negara pada tahun 1995 sehingga akhbar Harian Metro mencapai jualan lebih satu juta naskhah. Semuanya bermula apabila sebuah keluarga dari Johor Bahru telah beriadah di Dataran Bandaraya untuk menikmati angin laut dan pemandangan. Mereka kemudian telah bergambar di hadapan air pancutan yang terletak di tepi menara jam sebelum pulang.

Namun sebaik sahaja gambar yang diambil telah dicuci, mereka terperanjat apabila melihat imej hantu sedang memegang lilin dalam salah satu gambar tersebut. Berita ini tersebar meluas hingga mendapat perhatian media dan Mufti Johor juga dikatakan telah memberi komen mengenainya di rancangan televisyen keesokan hari.

Sumber: Blog

Disebabkan berita itu juga, anak-anak muda jarang melepak di Dataran Bandaraya dan merayau pada waktu malam. Walau bagaimanapun, lama kelamaan kisah tersebut berlalu dan tidak dapat dipastikan sama ada wujud atau tidak Hantu Lilin tersebut.

 

4. Hantu Bidai

Gambar hiasan

Hantu Bidai atau dikenali sebagai hantu balong bidai ini dikatakan sebagai semangat jahat yang tinggal dalam air. Hantu bidai boleh menyerupai tikar dan akan menggulung dan melemaskan mangsa yang dikehendaki. Err? Memang susah nak diterima akal tapi itulah yang diceritakan orang dulu-dulu.

Hantu seperti ini dikatakan sering berkeliaran di kawasan berair dan berkemungkinan bakal melemaskan kanak-kanak yang berenang tanpa pengawasan orang tua selain mengakibatkan kekejangan.

Gambar hiasan

Pun begitu, hantu ini dipercayai digunakan untuk menakutkan budak-budak yang mandi tanpa diperhatikan ibu bapa supaya mereka tidak mandi sendirian. Hal ini kerana kanak-kanak boleh berhadapan dengan bahaya lemas atau terpijak duri, paku dan kaca dalam sungai. Dengan itu, hantu bidai ini dicipta untuk menyelamatkan mereka daripada ancaman seperti itu.

 

5. Hantu K*pek

Gambar hiasan

Mungkin kedengaran agak lucah, namun hantu ini boleh tahan popular juga di kalangan orang kampung. Hantu ini dikatakan kononnya berupa seorang wanita yang tua dan suka menyorokkan kanak-kanak kecil yang suka bermain di luar rumah pada waktu Maghrib atau waktu malam.

Caranya menyorokkan kanak-kanak tersebut agak pelik. Dia dikatakan menyembunyikan mereka di bawah payudaranya. Emm pelik hantu macam ni! Difahamkan hantu ini hanya berada di kawasan perkampungan saja dan sering menyamar menjadi wanita cantik untuk menarik perhatian kanak-kanak lelaki.

Ia dipercayai digunakan untuk menakutkan kanak-kanak supaya tidak keluar pada waktu senja yang dikatakan gelap dan amat berbahaya kerana haiwan buas mungkin memasuki kawasan perkampungan pada waktu itu.

 

6. Hantu Galah

Gambar hiasan

Hantu Galah digambarkan sebagai mempunyai bentuk tubuh manusia namun bersaiz besar dan amat tinggi sehingga kepalanya menyapu awan. Ia sering ditemui jauh ke dalam hutan dan hanya kakinya saja dikatakan kelihatan.

Mereka yang diusiknya dikatakan sering menyangka hantu ini sebagai batang pokok. Kakinya diceritakan berbulu panjang dan mangsa terserempak dengannya pada waktu malam apabila sedang bersandar dan memegang kakinya, atau melalui jarak antara dua kakinya.

Gambar hiasan

Kisah hantu ini direka-reka dengan niat untuk menakutkan kanak-kanak supaya tidak memanjat pokok pada waktu malam. Namun ada dalam kalangan masyarakat percayai hantu ini dapat dilihat jika seseorang percaya akan kewujudannya.

 

7. Harimau Jadian

Gambar hiasan

Harimau Jadian mengikut budaya Melayu dan orang asli merupakan sejenis ilmu yang membolehkan penuntutnya bertukar menjadi harimau apabila dikehendaki. Ilmu ini dikatakan membantu pemakainya mempertahankan diri dan memudaratkan musuh.

Namun bagi penuntut ilmu ini, mereka harus membuang ilmu mereka atau mewariskan kepada keturunan mereka sebelum mati kerana bimbang pemakainya akan mengalami kesukaran untuk meninggal dunia.

Gambar hiasan

Walau bagaimanapun, terdapat cerita yang mengatakan kisah ini direka untuk menakut-nakutkan orang lain daripada mengganggu tanaman atau keselamatan orang yang didakwa memiliki ilmu tersebut. Pada tahun 1930-an juga masih banyak harimau terdapat di Malaysia dan kadangkala haiwan ini dikatakan berkeliaran di kawasan kampung pada waktu malam. Hal inilah yang menimbulkan tuduhan bahawa harimau telah dipelihara seseorang dalam kampung tersebut.

Sama ada betul atau tidak kewujudan hantu tersebut, kita sebagai seseorang beragama Islam sepatutnya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah dan meninggalkan perkara yang syirik. Elakkan daripada mempercayai kisah seperti ini berlebihan kerana ia hanyalah rekaan semata-mata. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *