Kisah Ulama’ Penjual Agama Pada Zaman Nabi Musa A.S

Pada zaman Nabi Musa as. dahulu, ada seorang lelaki bernama Bal’am bin Ba’ura, dari kaum bani Israel.

Beliau adalah seorang ulama’ yang mempunyai pengetahuan ilmu yang luas sehinggakan beliau mempunyai pengetahuan bukan sahaja tentang ilmu yang nyata di dunia, malahan beliau mempunyai pengetahuan ilmu ghaib berkaitan jin dan malaikat, serta mempunyai ilmu berkenaan sebahagian Loh Mahfuz, arasy Allah swt.

Doa Bal’am pula, amat mudah diperkenankan kerana tingkat ilmunya yang cukup tinggi kerana beliau mampu memahami sifat-sfat nama Allah dengan sempurna.

Begitulah istimewanya Bal’am bin Ba’ura ini disisi Allah swt. berkat didikan Nabi Musa as.

iluminasi kisan penjual agama2

Nabi Musa as. menghantar Bal’am untuk mengajak sebuah kaum yang bernama Madyan (ada yang mengatakan kaum Jabarin) supaya kembali kepada Islam ajaran Nabi Musa as.

Walau bagaimanapun, ketika diseru Bal’am, pemerintah Kaum Madyan pula meminta supaya Bal’am mendoakan kecelakaan pada Nabi Musa as. kerana penduduk Madyan amat khuatir dengan kedatangan Nabi Musa as. membawa ajaran dan tenteranya.

Bal’am enggan tetapi dipujuk dengan kemewahan serta harta yang melimpah, Bal’am berkeras tidak akan mendoakan keburukan pada Nabi Musa as. serta tenteranya. Beliau sangat risau keimanannya tergelincir.

Bal’am dipujuk lagi dengan kemewahan harta penduduk di situ dikumpulkan dan diberikan padanya sehinggakan isteri beliau sendiri berusaha memujuknya, supaya menggunakan doa beliau untuk menghindari Musa as. dari situ. Pelbagai alasan dikeluarkan oleh isteri beliau serta penduduk untuk memujuk Bal’am sehinggalah Bal’am tewas dengan godaan.

Bal’am bin Ba’ura yang tergoda, mendoakan keburukan kepada Nabi Musa as. dalam hatinya tetapi lidahnya hanya mengeluarkan kata-kata yang baik yang mendoakan kesejahteraan pada gurunya Nabi Musa as. serta pengikutnya.

Merasa pelik, apabila ditanya mengapa dia mendoakan kebaikan pula, Bal’am mengatakan yang itu adalah apa yang Allah swt. kehendaki dan dia tidak mampu mendoakan keburukan pada musuh mereka. Mulutnya tidak berjaya mendoakan keburukan pada Nabi Musa as. serta pengikutnya.

Gagal dalam berdoa, Bal’am yang sudah dirasuk dengan kemewahan dunia, menasihatkan pemerintah Madyan untuk mengumpulkan perempuan-perempuan paling cantik dari kaum mereka untuk dihantar kepada tentera Nabi Musa as. yang majoritinya adalah orang-orang musafir yang pasti mudah tergoda dengan wanita.

Rancangannya, Bal’am berharapan agar Allah swt. tidak akan mengampunkan tentera Nabi Musa as. yang berzina. Sudah pasti tentera Nabi Musa as. akan dilemahkan dengan mudah kerana tidak tahan godaan nafsu syahwat.

iluminasi kisan penjual agama

Apa yang diharapkan berlaku memang benar-benar berlaku sehinggakan ramai tentera Nabi Musa as. tewas dengan godaan wanita-wanita itu yang dihantar pada mereka. Larangan Nabi Musa as. agar pengikutnya tidak mendekati wanita-wanita tersebut tidak diendahkan.

Allah swt. menurunkan wabak sebagai hukuman kepada tentera Nabi Musa as. yang tergelincir menjalankan zina sehingga dikhabarkan 70 ribu orang meninggal di landa wabak itu.

Bal’am bin Ba’ura meneruskan kehidupan beliau di situ dengan dihujani kemewahan atas kejayaan menghalang kedatangan tentera Nabi Musa as. kepada kaum Madyan.

Tertewas dengan godaan kemewahan itu, ulama’ besar bernama Bal’am bin Ba’ura dan pengikut setia Nabi Musa as. yang mempunyai ilmu melebihi manusia lain dan ditinggikan darjatnya di sisi Allah swt., menghabiskan sisa hidupnya dalam keadaan binasa dan bingung apabila ilmunya ditarik satu per satu. Jelas ilmu yang tinggi itu tak cukup untuk menghalang dia dari tamakkan kemewahan dunia.

Kehidupannya selepas itu tidak ubah seperti seekor anjing yang tidak mengerti lagi apa hala tujunya. Hidupnya sekadar memuaskan nafsu tanpa mempunyai apa-apa makna seperti anjing yang hidupnya hanya mencari makanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *