Malaysia Negara Panahan Petir Ketiga Tertinggi Didunia

Malaysia adalah negara ketiga di dunia paling kerap mengalami kejadian petir atau kilat, selepas Rwanda dan Congo, dengan purata 190 hari kejadian dalam setahun.

Sebagai sebuah negara berstatus perindustrian dengan penerimaan petir sebanyak itu, ia meletakkan Malaysia antara kedudukan teratas dalam jumlah panahan dikenali sebagai ‘Mahkota Kilat’ (Crown of Lightning).

Rekod Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) juga menunjukkan kawasan Subang di Selangor pernah mencatat kejadian petir tertinggi iaitu 362 hari sepanjang tahun 1987.

Keadaan ini mengatasi Bogor, Indonesia, yang dicatatkan dalam Guiness Book of World Records mengalami kejadian petir paling tinggi, dengan 322 hari penerimaan petir dalam setahun pada 1988.

Pengarah Kajian Pusat Kecemerlangan Perlindungan Kilat (CELP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir, berkata berdasarkan kajian CELP, musim puncak kejadian petir adalah di antara April hingga Jun dan September hingga November.

Katanya, ketika musim puncak, bilangan petir yang dicatat boleh mencecah sehingga berpuluh ribu sebulan di seluruh negara dan setakat ini, rekod yang dikumpulkan adalah konsisten.

“Pantai barat Semenanjung Malaysia dikenal pasti antara lokasi mencatatkan bilangan kilat tertinggi berbanding kawasan lain.

“Ia disumbang kedudukan geografi kawasan itu, yang terletak berhampiran Selat Melaka, selain dikelilingi banyak banjaran,” katanya.

Beliau berkata, panahan petir bukan saja boleh menyebabkan kematian, malah memusnahkan harta benda.

Sebagai contoh, katanya, pada April 2006, Petronas kerugian kira-kira RM100 juta apabila dua tangki minyak dan sebuah tangki gas asli miliknya meletup dan terbakar akibat panahan petir di depot minyak di kawasan perindustrian Pasir Gudang, Johor.

“Kejadian ini adalah contoh bagaimana petir menyebabkan kemusnahan dan kerugian secara langsung kepada syarikat dan negara.

“Selain itu, panahan petir juga boleh menyebabkan bekalan elektrik terputus, seterusnya perniagaan kerugian sehingga berjuta ringgit,” katanya.

Beliau berkata, dianggarkan, negara mengalami kerugian kira-kira RM100 juta setiap tahun akibat panahan petir ini.

INFO

Ketika hujan lebat dan petir, perkara penting perlu diketahui bagi melindungi diri daripada disambar kilat.

# Tiada satu tempat di luar yang selamat jika ribut petir berlaku di kawasan berkenaan.

# Jika mendengar guruh di langit, ketahuilah kilat atau petir adalah cukup dekat untuk menyambar anda.

# Apabila mendengar guruh, segera beralih ke tempat perlindungan lebih selamat.

# Contoh tempat berlindung yang selamat adalah bangunan besar atau di dalam kenderaan bertutup dan berbumbung besi.

# Tunggu di tempat perlindungan selamat itu sekurang-kurangnya 30 minit selepas anda mendengar guruh terakhir.

Tip keselamatan ketika berada di dalam bangunan

# Jauhi kabel telefon, komputer dan peralatan elektrik lain yang akan meletakkan anda dalam hubungan secara langsung dengan elektrik.

# Jauhi paip tembaga atau besi, termasuk sinki, tab mandi dan kepala paip.

# Jauhi tingkap dan pintu atau berehat di luar anjung.

# Jangan berbaring di atas lantai konkrit atau bersandar pada dinding konkrit.

Jika terperangkap di luar, langkah ini boleh mengurangkan risiko dipanah petir.

# Segera turun dari kawasan tinggi seperti bukit, rabung atau puncak gunung

# Jangan berbaring di atas tanah

# Jangan menggunakan pokok sebagai tempat berlindung

# Jangan menggunakan tebing atau kawasan berbatu untuk berlindung

# Segera keluar dan jauhi kolam, tasik dan takungan air

# Jauhi objek yang boleh mengalirkan elektrik (pagar kawat berduri, talian elektrik atau telefon dan lain-lain.)

Jika seseorang dipanah petir:

# Jangan bimbang, mangsa tidak membawa sebarang cas elektrik, malahan mangsa mungkin memerlukan perubatan dan perhatian segera.

# Awasi keadaan mangsa dan mulakan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), jika perlu.

# Hubungi talian 999 untuk bantuan

Kejadian panah petir di seluruh negara sejak awal tahun ini

18 Mei 2015
Tiga maut, termasuk seorang kanak-kanak berusia 9 tahun maut akibat dipanah petir ketika berteduh di bawah pondok hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Permatang Rengas, Sri Medan, Batu Pahat, Johor. Kanak-kanak itu meninggal dunia sehari selepas dipanah petir manakala dua lelaki maut di tempat kejadian.

13 Mei 2015
Pusat Internet 1Malaysia di Balai raya Taman Bahau, Jempol, Negeri Sembilan, terbakar dipanah petir.

9 April 2015
Seorang lelaki maut dipanah petir ketika menangkap udang bersama beberapa rakan dengan menaiki bot di pesisir Tanjung Jaga, Yan, Kedah.

11 April 2015
Dua sahabat maut disambar petir ketika berteduh di kuil Kampung Ladang Batu Kawan, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

23 April 2015
Dua lelaki maut, manakala dua parah akibat dipanah petir ketika mencari madu kelulut di Taman Muhibbah Fasa 14, Merlimau, Jasin, Melaka.

10 Mei 2015
Budak lelaki lima tahun maut selepas kepala dan lehernya tertusuk dahan pokok yang patah dan melayang akibat dipanah petir di hadapan chalet dekat Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka.

17 April 2015
Seorang lelaki cedera selepas dipanah petir dalam kejadian di sebuah restoran ikan bakar di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

7 Januari 2015
22 lembu mati dalam sebuah kandang di Kampung Ramuan Cina, Alor Gajah, Melaka akibat dipanah petir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *