Pengalaman Menjadi Minoriti Muslim di Negara Matahari Terbit

Duduk di tingkat empat perpustakaan rumah ibadatnya, Yoshi Date mengingat semula detik dia mendapat hidayah. Kisahnya berbeza daripada kisah-kisah individu barat yang diberikan petunjuk kerana berkunjung ke negara-negara Islam. Yoshi tersedar semasa belajar di Australia. Seorang penganut agama Buddha yang tegar ketika itu, dia mula mempelajari agama-agama kitab. Yoshi mempelajari kitab Bible namun hatinya tak cukup puas.

Jadi Yoshi mula membaca tafsir al-Quran. Peristiwa itu membuka mata beliau. Pemahamannya tentang Islam ketika itu hanyalah kes-kes pengganas yang mengebom di sana-sini, seperti paparan media.

Pada satu malam semasa sedang tidur dia diberikan mimpi. Dalam mimpinya, Yoshi melihat dirinya sendiri sedang berlindung di belakang sebuah kereta mengelakkan hujan peluru. Sedang ketakutan, Yoshi terdengar di belakangnya ada suara menyebut ‘Allahu akbar’ beberapa kali.

Terjaga, Yoshi membuka internet lalu mencari frasa tersebut kerana itu adalah kali pertama dia mendengarnya, walaupun sekadar dalam mimpi. Pencarian itu membuka pintu hatinya supaya mula terasa ingin berubah. Yoshi berhenti memakan daging khinzir serta minum minuman keras.

Kembali ke Tokyo selepas menamatkan pengajian, Yoshi melafazkan secara rasmi syahadah di Masjid Otsuka, Tokyo.

Masyarakat Muslim di Tokyo

gadis jepun peluk islam ceramah zakir naik

Masjid Otsuka kebiasaannya sunyi selepas tamat solat Zohor.

Beberapa orang individu akan berlegar melakukan aktiviti secara sendirian. Jepun terkenal sebagai sebuah negara yang menyatukan dua agama terbesar mereka secara harmoni, iaitu agama Shinto dan Buddha selama berabad lamanya.

Sejak tahun 80-an, wujud satu kumpulan komuniti kecil orang Muslim yang semakin berkembang, terdiri daripada individu warga Jepun seperti Yoshi serta individu pendatang yang rata-ratanya tiba dari negara Muslim seperti Indonesia, Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan lain-lain.

Agak sukar untuk mengetahui populasi sebenar masyarakat Muslim di Jepun, kerana kerajaan mereka tidak pernah meminta warganegara Jepun mengisytiharkan pegangan agama mereka.

Bagaimanapun, apa yang pasti melalui penyelidikan yang dilakukan badan-badan bebas angkanya sedang meningkat. Kertas kajian yang diterbitkan pada tahun 2006 menganggarkan wujud 5,300 penganut Islam pada 1984, meningkat dengan konsisten kepada 30,000 pada tahun 1995 dan 56,300 pada tahun 2003.

Kajian terbaru oleh National Bureuu of Asian Research pada tahun 2008 menganggarkan jumlah komuniti Muslim di Jepun berada pada tahap 80,000 orang.

Peningkatan ini dilihat konsisten dengan keperluan Jepun membuka pintu menerima kemasukan pekerja asing dari luar, ekoran masalah kekurangan tenaga buruh bagi memenuhi permintaan pembangunan yang meningkat serta kurangnya minat warga tempatan untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

Perspektif agama bagi masyarakat Jepun

anime jepun ala arab

Agama di Jepun memberi kesan yang berbeza pada masyarakatnya berbanding negara-negara lain.

Dengan separuh daripada rakyatnya dilihat memilih untuk ‘tidak menitik beratkan perihal agama dalam kehidupan’, bagi mereka yang beragama dilihat cenderung memilih mengamalkan agama Shinto yang mirip dengan pegangan Atheist dari barat. Masyarakat Jepun secara amnya berpandangan agama itu adalah suatu elemen hidup yang boleh diamalkan apabila perlu, serta boleh dicampur aduk mengikut kesesuaian.

Sebagai contoh, seorang itu biasanya merujuk kepada panduan agama Buddha apabila berdepan situasi kematian dan berbicara tentang perkara dunia menggunakan perspektif agama Shinto, seperti dalam urusan kelahiran anak. Upacara perkahwinan menjadi contoh acara yang dapat menggabungkan pelaksanaan kedua-dua agama serentak, dalam satu situasi.

Ini menyebabkan penyebaran agama yang mengawal hidup secara menyeluruh seperti Islam atau Kristian yang perlu dipegang secara eksklusif menjadi lebih sukar, kerana masyarakat Jepun tindakan sedemikian hanya akan membataskan hidup mereka.

Pada hujung abad ke 19 agama Kristian dilihat berjaya bertapak di Jepun, dengan pembukaan universiti-universiti pro-Kristian yang mendapat sambutan orang ramai khasnya golongan atasan Jepun. Walaupun berjaya bertapak serta mempengaruhi segelintir individu ternama di Jepun, agama Kristian gagal menguasai majoriti masyarakat Jepun kerana faktor perbezaan cara masyarakat Jepun menilai agama itu sendiri. Setakat ini, penyelidik mengganggarkan hanya ada 1 peratus penganut Kristian menetap di Jepun.

Adakah Islam ada masa depan di Jepun?

perkahwinan jepun muslim

Kajian menunjukkan berlakunya penurunan ketara pada bilangan pengunjung tokong Buddha dan Shinto yang mengamalkan tatacara agama mereka secara total. Penurunan ini dikatakan berpunca daripada pola pemikiran moden yang dipegang masyarakat muda Jepun, yang lebih gemar membincangkan isu-isu antarabangsa berbanding golongan veteran yang meletakkan isu penduduk setempat, sebagai topik utama semasa perjumpaan komuniti mereka di tokong.

Islam di kalangan masyarakat Jepun pula, dianggarkan akan berkembang namun agak sukar untuk Islam menjadi agama majoriti Jepun. Penyebaran Islam dikalangan rakyat Jepun berlaku disebabkan faktor individu, dengan majoriti penganut Islam di Jepun memeluk Islam berikutan rasa ingin tahu yang membawa mereka kepada penemuan Islam. Selain itu perkahwinan menjadi antara faktor peningkatan bilangan penganut Islam, selepas ramai wanita Jepun memilih untuk berkahwin dengan ‘gaijin’ atau pendatang asing yang datang berkhidmat di negara mereka.

Islam yang seringkali dikaitkan dengan gerakan ekstrimis yang membawa persepsi negatif namun istimewanya, masyarakat Jepun dilihat kurang terpengaruh dengan ‘imej Islam’ yang digambarkan di serata dunia.

Penduduk Jepun mempunyai satu keunikan atau keistimewaan yang tidak ada di bandar-bandar utama lain dunia. Mereka mampu mengekalkan keharmonian mereka walaupun realitinya mereka tidak berapa menerima kemasukan orang luar. Walaupun mentaliti itu dilihat membuatkan komuniti-komuniti minoriti seperti orang-orang Muslim Jepun, memilih untuk mengasingkan diri daripada menyertai sistem sosial Jepun sepenuhnya keseluruhannya masyarakat di Jepun dapat hidup tanpa wujud isu-isu provokasi melibatkan agama.

Pada dasarnya, kaum majoriti Jepun tetap mempunyai mentaliti kurang menggemari kedatangan orang atau elemen luar – namun komuniti Muslim langsung tidak mengalami masalah diskriminasi. Ini kerana budaya masyarakat Jepun terterap sifat tidak gemarkan masalah serta lebih selesa mengekalkan keadaan yang tenteram.

Perasaan kerjasama dalam diam itu membantu membentuk satu situasi yang harmoni, di mana setiap individu bebas mengamalkan budaya dan agama mereka, serta mampu hidup dengan baik dalam komuniti mereka sendiri, walaupun tidak bercampur gaul antara satu sama lain.

Budaya Jepun yang memberi peluang pada semua

wanita muslim di jepun

Seorang ahli perniagaan, Haroon Qureshi dari Pakistan kini menjadikan Tokyo sebagai rumahnya sejak 1991. Perkahwinannya dengan seorang wanita Jepun melahirkan seorang anak yang membuktikan percampuran budaya diterima baik masyarakat Jepun. Anaknya berwajah Asia Timur iras ibunya namun sangat cekap berbahasa Urdu, ikutan ayahnya.

Pada mulanya sebelum hadir di Jepun, Haroon sebenarnya merancang untuk ke Amerika Syarikat atau Kanada. Melihat apa yang berlaku pada komuniti Islam di Amerika Syarikat khasnya selepas peristiwa 11 September 2001 – Haroon sedar pilihannya tepat selepas mengambil pilihan untuk berhijrah ke Jepun mencari rezeki.

Hormatnya masyarakat Jepun pada komuniti Muslim dapat dilihat dalam pembukaan restoran-restoran yang berusaha mendapatkan pengiktirafan halal, menghidangkan makanan yang sumbernya disahkan bersih. Dengan anggaran 200 lebih restoran berstatus halal di Tokyo sahaja, membuktikan penerimaan masyarakat Jepun pada keperluan komuniti Muslim berada di tahap sangat baik. Islamic Center of Japan dilantik oleh kerajaan Jepun untuk menyelia fasiliti-fasiliti perniagaan yang mahu diiktiraf halal – satu bukti hormatnya masyarakat Jepun dengan keperluan orang Islam di sana.

Kelas bahasa Arab dianjurkan di kawasan-kawasan masjid yang dibina dengan binaan diinspirasikan seni bina Turki. Individu Muslim diberikan kebebasan untuk mengamalkan apa saja yang mereka mahukan dalam masjid atau pusat komuniti mereka tanpa ada sekatan dikenakan.

Dasar kerajaan Jepun yang mengutamakan keharmonian

masjid otsuka di tokyo

Semua itu disokong oleh kerajaan Jepun yang senantiasa mengawasi pergerakan komuniti Muslim di sana. Berbezanya dengan kerajaan-kerajaan di negara barat, kerajaan Jepun dilihat bersedia menghulurkan bantuan dalam membantu menguruskan fasiliti yang dikhaskan untuk komuniti Muslim.

Ini membuktikan wujudnya kerjasama yang meyakinkan golongan Muslim di Jepun, bahawa kehidupan mereka sebagai penganut Islam di negara sendiri berbeza, berbanding dengan situasi yang dihadapi masyarakat minoriti Muslim di negara-negara tertentu. Jepun dilihat mengambil pendekatan berbeza dalam menangani perbezaan budaya dan agama masyarakat mereka, tidak mengambil sebarang langkah mengekang atau menekan masyarakat minoriti mereka serta tidak cuba menggalakkan kerjasama di antara penganut-penganut agama yang berbeza.

Setakat ini langkah yang digunakan kerajaan Jepun layak dijadikan model bagi kebanyakan negara lain, khasnya negara barat yang dilihat terlalu sensitif dengan sebarang label berkait dengan Muslim dan Islam.

Bagi individu seperti Yoshi Date dan Haroon Qureshi; walaupun bergelar minoriti – dapat ke masjid untuk beribadah dengan tenang tanpa gangguan adalah satu kemenangan yang besar dalam sebuah masyarakat yang rata-ratanya tidak cenderung kepada Islam, namun cukup memahami bagaimana menghormati perbezaan orang lain.


Artikel ini adalah terjemahan serta olahan semula¬†artikel¬†‘The ‘Sleeping Muslims’ of Japan’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *