Roti tertua di dunia ditemui! Teknik pembuatan berusia 14,500 tahun, lebih lama sebelum manusia mula bercucuk tanam

Ahli arkeologi yang sedang membuat penyelidikan di sebuah tapak prasejarah di timur laut Jordan telah menemui satu penemuan bersejarah yang mengejutkan, apabila sebuku roti yang berusia 14,500 tahun telah ditemui di dalam sebuah alat pembakar zaman kuno.

Penemuan bersejarah ini telah memberi petunjuk bahawa manusia zaman kuno sudah menguasai teknik pembuatan roti iaitu makanan ruji terpenting di dunia, sejak beribu-ribu tahun sebelum manusia mula membangunkan teknik penanaman dan pertanian.

Dengan penemuan bersejarah yang telah diumumkan baru-baru ini, ia telah menunjukkanbahawa tamadun di kawasan Timur Mediterranean telah terlebih dahulu mencapai kemajuan yang menakjubkan dalam bidang penghasilan roti, jauh lebih awal daripada apa yang diketahui oleh pakar dan penyelidik sebelum ini. Dalam kajian yang dilakukan, usia roti ini adalah 4,000 tahun lebih tua daripada usia teknik bercucuk tanam yang telah dimulakan manusia.

Roti tersebut dipercayai hanya berbentuk seperti roti pita, iaitu roti biasa daripada sejenis tepung yang tidak dicampur ragi. Para penyelidik mempercayai roti tersebut telah dihasilkan daripada bijirin liar sama ada barli, gandum purba, oat atau tepung yang dihasilkan daripada pokok papirus.

Para penyelidik telah membuat jangkaan bahawa roti tersebut mungkin dihasilkan daripada budaya orang-orang Natufian yang merupakan kaum yang membuat penempatan tetap di tapak arkeologi Black Desert di Jordan.

Penyelidik dari Universiti Copanhagen, Denmark, Amaia Arranz-Otaegui berkata, “Penemuan roti dengan usia beribu tahun begini adalah satu penemuan yang mengejutkan.”

Menurut Amaia Arranz-Otaegui lagi, sehingga kini roti tersebut dikaitkan dengan masyarakat petani paling awal yang menanam bijirin dan kacang. Roti tertua yang ditemui sebelum ini berusia 9,100 tahun yang ditemui di Turki.

Katanya, “Kami sedang membuat kajian sama ada wujud hubungan antara penghasilan roti dengan aktiviti bercucuk tanam di peringkat awal. Boleh jadi teknik bercucuk tanam dan pertanian telah dibangunkan untuk menghasilkan bahan utama yang diperlukan dalam penghasilan roti tersebut. Mungkin disebabkan mereka sudah mengetahui keperluan dan kepentingan makanan lalu mula mencari sumber menghasilkan lebih banyak bahan makanan.”

Selain penemuan roti tersebut, penyelidik turut menemui bukti diet pemakanan berasaskan daging dan tumbuhan yang diamalkan oleh masyarakat Natufian. Malah, mereka turut menemui ruang tempat membakar berbentuk bulat yang diperbuat daripada batu basalt dan mempunyai diameter seluas satu meter yang ditemui di tengah-tengah sebuah pondok.

Penyelidik yang membuat kajian tersebut, telah cuba menghasilkan semula roti tersebut dengan menggunakan resipi prasejarah daripada roti tertua yang ditemui di tapak arkeologi tersebut. Setakat ini mereka sudah berjaya menghasilkan tepung daripada ubi pokok papirus.

Amaia Arranz-Otaegui berkata, “Rasa ubi itu agak kasar dan masin, tetapi ia juga mempunyai rasa sedikit manis.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *