Kisah kejayaan pengasas Al Ikhsan Sports – Tuan Ali Hassan

Kisah ini adalah berdasarkan perkongsian di slot Inspirasiku di radio IKIM.fm bersama Tuan Haji Ali Hassan, Pengasas & Pengerusi Al Ikhsan Sports Sdn Bhd. Moga yang membaca akan dapat ilmunya juga, In shaa Allah.

al ikhsan

Tuan Haji Ali bukan berasal dari keluarga yang berlatar belakangkan perniagaan. Didikan ibu bapa beliau yg membentuk peribadi anak bongsu daripada 8 beradik ini. Sekitar usianya 17 tahun, masanya banyak dihabiskan dengan bermain bola, dan habis duduk melepak depan rumah dengan kawan-kawannya. Kerap-kali beliau ditegur bapanya supaya cepat mandi dan solat Maghrib. Sekali buat, ditegur, kali kedua buat, ditegur baik lagi, kali ketiga beliau ulangi, ayahnya halau beliau dari rumah. Ya, dihalau rumah kerana nakal tak berubah menjaga solat awal waktu. Sebulan Tuan Hai Ali berkelana dari satu rumah kawan ke rumah kawan yg lain, menumpang tidur. Setelah sebulan, beliau sendiri yang balik ke rumah, bapanya tidak langsung mencarinya. Bapanya menyampaikan satu mesej bahawa dia sayangkan Allah lebih dari sayang anaknya.

ali hassan

Kedua-dua ibu bapa Tuan Haji Ali gemar bersedekah. Bapanya dahulu, terima sahaja duit pencen, separuh darinya disedekahkan ke pelbagai tempat. Ibu beliau pun sentiasa bersedekah. Tuan Haji Ali berulang kali bertanya kepada ibunya apa yang didoakan untuknya, tapi ibunya enggan beritahu. Akhirnya, ibunya beritahu juga bahawa setiap hari dia berdoa “semoga Ali jadi orang yang berjaya, kaya supaya boleh bagi aku duit, dan dapat aku bersedekah lebih banyak”. Betapa hebat penangan doa seorang ibu. Tuan Haji Ali berkata, memang ibunya tidak pandai membeli belah, asalkan ada duit, dia mesti sedekah. Kalau diberi RM5000, lepas seminggu habis digunakan wang itu untuk bersedekah. Kalau beliau bagi RM10,000 pun habis diguna ibunya ke jalan sedekah. Bapanya meninggal dunia ketika beliau di UTM dalam jurusan Diploma Kejuruteraan, dan ibunya meninggal dunia lebih kurang 2 tahun yang lalu.

al ikhsan sports sdn bhd

3 prinsip/formula yang beliau pegang, dan inilah rahsia beliau berjaya dalam perniagaan:

1) Jaga Solat.

2) Berbuat baik dan sayangi ibubapa

3) Sedekah, zakat.

Lepas habis belajar di UTM Skudai, beliau tidak pernah bekerja makan gaji, tetapi terus berniaga peralatan sukan, yang beliau mulakan hanya degan modal RM50 sahaja pada zaman sebagai seorang pelajar. Kiosk pertamanya hanya sebesar 100 kaki persegi, kecil sahaja. Dia sorang pekerja, dia pemilik dan dia juga kuli. Masuk waktu solat, solat dalam kedai.

dekorasi kedai al ikhsan

Sentiasa mendahulukan ibunya. Di setiap perasmian cawangan baru, ibunya jadi VVIP yang merasmikan, walaupun ada VVIP lain yang hadir, contohnya Menteri Besar. Beliau tetapkan satu KPI untuk memuliakan ibunya.

Kejayaan beliau ialah hasil berkat pelaburan ibu bapnyanya dahulu. Kita sebagai ibu bapa perlu jadikan ia sebagai tauladan. Ibu bapa Tuan Haji Ali kuat bersedekah, jaga solat, jaga solat anak-anak dan Allah kurniakan kejayaan buat anak anak.

al ikhsan megastore di johot bahru

Berjayanya Al Iksan kini, mempunyai sekitar lebih 115 buah cawangan di serata Malaysia. Menjadi juara di Malaysia dalam industri peralatan sukan setelah hampir 20 tahun lebih fokus dalam industri ini. Memulakan perniagaan pada tahun 1993, kebanyakan bank tidak layan bila beliau mahu buat pinjaman, pasaraya semua pandang sinis mampukah beliau untuk bayar kos sewa lot kedai yang bernilai RM20,000 hingga RM30,000 sebulan, dan ketika itu pesaing bukan Bumiputra sudah maju. Beliau pegang prinsip Perang Badar. NIAT yang betul dan tahu apa yg perlu dibuat, FOKUS, dan kini berjaya. Dari peruncit, jadi pemborong, dan kini jadi pengedar utama. Jenama Asics, Canterburry, Teka, Adidas, Nike, sekadar menyebut beberapa jenama utama, mereka ini yang mencari Al Ikhsan untuk dijadikan pengedar utama di Malaysia (yang sebelum ini dimonopoli oleh syarikat dari Australia, Singapore dan Dubai).

ali hassan pemilik al ikhsan sports

Prinsip berniaga beliau ialah BETULKAN NIAT dan FOKUS. Sebagaimana nak solat ada niat, begitulah juga untuk berniaga. “Jangan main-main” kata beliau. Niat perlu betul kenapa mahu berniaga dan fokus dalam perniagaan yang diceburi, hingga berjaya. Jangan mudah dan cepat lompat-lompat perbiagaan bila sesuatu perniagaan itu belum membuahkan hasil.

Di ibu pejabatnya yang mempunyai 300 pekerja, bila tiba waktu kerja pagi pukul 9am, pekerja-pekerja akan ke surau pejabat untuk solat Dhuha dahulu. Waktu zohor, semua staf WAJIB turun ke surau pejabat untuk solat berjemaah. Dahulukan Allah, kemudian semua kerja jadi senang dan berkat. Kawan beliau seorang pakar bedah jantung minta nasihat beliau, dan beliau nasihatkan tentang jaga solat awal waktu. Terbukti berkesan! Kalau dahulu selalu lengahkan solat, Asar sentiasa lewat hampir pukul 7pm, ada sahaja masalah masa pembedahan, ada komplikasi. Tetapi sejak kawannya solat awal Asar, lancar sahaja semua urusan pembedahan. Pembedahan yang selalunya memakan masa 3 jam boleh diselesaikan dalam masa 1 jam lebih sahaja.

tuan haji ali hassan pengasas al ikhsan

Syarikatnya ada pasukan Corporate Social Responsibility (CSR) sendiri, yang bergerak setiap minggu mencari orang susah, fakir miskin, untuk projek sedekah. Team CSR nya juga menyediakan taklimat motivasi untuk berkongsi kisah kejayaan dan ilmu, SECARA PERCUMA kepada ramai pelajar universiti. Kenapa percuma? Kerana beliau sudah berniat, segala sedekah, termasuk sedekah ilmu, pahalanya untuk kedua-dua arwah ibubapanya. Kata beliau, dengan memberi taklimat di universiti yang mempunyai 3000 orang pelajar, jika 10% pelajar ini amalkan ilmunya, seperti menjaga solat, rajin bersedekah dan sayangi ibu bapa, banyak saham pahala yang mengalir buat ibu bapanya. Dgn cara ini lah beliau kata beliau kekal “komunikasi” dengan kedua-dua ibu bapanya. Selain kerap ke kubur, ziarah dan sedekah bacaan Al Quran. Malahan kubur ibunya memang setiap minggu di ziarahi oleh anak-anak yatim, kerana semasa hayatnya, ibunya memiliki 2 buah rumah anak-anak yatim. Beliau meletakkan tahap yang tinggi ini dalam berbakti kepada kedua orang tuanya, supaya ahli keluarganya nampak sendiri dan In shaa Allah amalan ini akan diteruskan oleh generasi anak cucunya nanti.

Pesanan akhir beliau dalam temuramah bersamnya ialah, AMALKAN CEPAT segala ilmu yang kita ada. Tak guna ada banyak ilmu, tetapi tidak amal, tidak dipraktikkan. Macam anak-anak muda sekarang, setiap hari rajin baca internet, baca ilmu itu ini, tapi tidak diamalkan, menulis kencang di Facebook tentang Steve Job, akhirnya mahu makan pun minta duit dari ibu bapa. Alangkah ruginya. Analogi yang beliau beri ialah umpama kita berbicara tentang manis dan sedapnyaa durian. Belajarlah setahun pun pasal durian, tetapi kalau kita tidak buka dan makan sendiri, kita tidak akan tahu nikmat sebenarnya. Bila kita makan sahaja durian, tidak sampai 5 minit kita akan faham erti sebenar kesedapan durian itu.

Rujukan: Facebook Dr. Khairul Faizie

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *