Zeti: Tanpa GST pun Malaysia mampu jana hasil

Malaysia mampu untuk memenuhi keperluan perolehannya walaupun selepas memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan meneliti keutamaan terhadap projek-projeknya, meningkatkan kecekapan sektor awam, mengelakkan pembaziran dan meneroka sumber pendapatan baharu, kata Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu juga menyatakan keyakinan terhadap ekonomi negara yang boleh dipandu ke arah yang betul dan tempoh masa 100 hari adalah mencukupi untuk menyediakan sesuatu yang jelas dan melakukan pengubahsuaian serta perubahan diperlukan.

“Saya berasa inilah juga yang diperlukan pasaran. Mereka mahu menyaksikan komitmen berkenaan dan lebih jelas terhadap apakah yang akan dilakukan (oleh kerajaan),” katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi taklimat berasingan dengan agensi penarafan kredit antarabangsa, Moody’s Investors Service, Standard & Poor’s Global Ratings dan Fitch Ratings, di Kuala Lumpur, hari ini.

Gabenor wanita pertama yang menerajui bank pusat berkenaan selama 16 tahun itu adalah anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Sabtu.

Dipengerusikan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, turut sama di dalam majlis itu adalah Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Mohd Hassan Marican; Pakar Ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram dan Ahli Perniagaan, Tan Sri Robert Kuok.

Mengulas sama ada prestasi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan ringgit pada hari ini adalah disebabkan oleh keyakinan semula terhadap ekonomi, Zeti menegaskan: “Dalam keadaan tidak menentu akan ada turun naiknya.”

Ketika penggiat pasaran melihat komitmen dan kemampuan institusi seperti BNM, Kementerian Kewangan dan agensi lain dalam melaksanakan pembaharuan yang sepatutnya, beliau berkata: “Saya percaya wujudnya potensi yang boleh membawa kepada keyakinan itu dan kita menuju ke arah masa depan yang lebih baik serta cerah.”

Mengulas contoh kejayaan Malaysia mengatasi situasi serupa sebelum ini, Zeti berkata, kunci kemampuan itu adalah kepada usaha meneliti keutamaan terhadap projek-projek itu.

Teliti semula keutamaan projek mega

“Kita pernah melakukan perkara serupa ketika era pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan 1990-an.

“Berikutan banyaknya projek-projek mega yang dilaksanakan, imbangan pembayaran defisit akaun semasa kita melebihi 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meningkatkan ketidaktentuan negara.

“Pada waktu itu, kita menasihatkan beliau supaya meneliti semula keutamaan projek-projek mega dan menangguhkan pelaksanaannya pada masa depan.

“Dalam masa dua tahun, imbangan pembayaran defisit akaun semasa pulih kepada 4.6 peratus daripada KDNK berbanding melebihi 10 peratus seperti sebelumnya. Kita sudah melakukannya sebelum ini dan akan mampu mengulanginya,” katanya.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *