5 Drama Jepun Yang Pernah Digilai Suatu Ketika Dahulu

Sebelum rakyat Malaysia mula menonton drama-drama dari Korea ataupun lebih popular sebagai drama-drama K-Pop, rakyat Malaysia sebenarnya sudah di dedahkan dengan drama-drama dari Jepun yang turut dipanggil sebagai drama-drama J-Pop.

Demam drama J-Pop telah melanda Malaysia antara tahun 2000 sehinggalah hujung tahun 2010. Pada ketika itu, Astro masih belum menyediakan saluran khas untuk peminat-peminat drama J-Pop seperti yang ia sediakan untuk peminat-peminat drama K-Pop pada masa kini. Hanya TV2, TV3 dan NTV7 sahaja yang menyajikan drama-drama Jepun untuk peminat-peminat J-Pop. Jika tidak sempat menonton di televisyen, maka VCD drama-drama ini akan dibeli di kedai-kedai video.

Antara pelakon-pelakon Jepun yang terkenal dan menjadi kegilaan rakyat Malaysia pada ketika itu ialah Takuya Kimura, Yutaka Takenouchi, Takashi Sorimachi dan ramai lagi.

Untuk artikel kali ini, kami di Mensive ingin membawa para pembaca yang pernah mengikuti drama ini sejak tahun 2000, maka ini akan menjadi flashbackbagi anda manakala bagi yang baru nak tahu, ini mungkin akan jadi permulaan untuk anda ketahui drama-drama Jepun yang pernah muncul sebelum kemunculan K-Pop. Oleh itu, jom kita lihat 5 drama Jepun yang pernah popular suatu ketika dahulu.

drama jepun

Kredit foto: oocities.org

Beautiful Life

Drama ini dilakonkan oleh aktor kacak Takuya Kimura yang memegang watak Shuji dan digandingkan dengan aktres Takako Tokiwa yang memegang watak Kyoko. Drama ini mengisahkan Shuji yang telah bertembung dengan Kyoko dalam satu kemalangan kecil. Kyoko adalah orang kurang upaya yang hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda manakala Shuji adalah seorang hairstylist yang bekerja untuk sebuah majalah hiburan popular.

Walaupun datang dari dunia yang berbeza, tetapi cinta telah menyatukan hati mereka berdua. Namun begitu cinta Shuji dan Kyoko telah ditentang oleh abang Kyoko disamping penyakit yang dihidapi oleh Kyoko semakin serius dan tenat menyebabkan ‘Beautiful Life’ yang mereka sedang lalui bakal menemui perpisahan.

drama jepun

Kredit foto: oocities.org

Beach Boys

Drama ini pula mengisahkan dua pemuda bernama Hiromi, lakonan Takashi Sorimachi dan juga Kaito, lakonan Yutaka Takenouchi, yang secara tak sengaja telah bertembung semasa mereka ingin bercuti di tepi pantai. Hiromi merupakan bekas calon perenang olimpik Jepun yang datang bercuti di tepi pantai selepas ditinggalkan kekasihnya. Manakala, Kaito pula ke sini untuk mencari ketenangan selepas melalui kehidupan yang sibuk di tengah bandar sebagai orang korporat. Mereka berdua tinggal di chalet yang diuruskan oleh peluncur yang sudah bersara iaitu Masaru dan cucunya, Makoto.

Sepanjang drama ini kita akan melihat bagaimana Hiromi yang berperwatakan happy go lucky cuba untuk berkawan dengan Kaito yang lebih serius orangnya. Pelbagai kisah menarik yang berlaku sepanjang hubungan persahabatan ini dibina.

drama jepun

Kredit foto: z10.invisionfree.com

Gokusen

Mengisahkan seorang guru yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi guru kelas yang paling teruk dan bermasalah dalam sekolah iaitu kelas 3-D. Nakame Yukie adalah aktres yang telah memegang watak guru dalam drama ini yang bernama Yamaguchi Kumiko. Pelajar-pelajar dalam kelas 3-D ini mempunyai perwatakan yang sangat teruk dan tidak menghormati guru. Ketua pelajar-pelajar di dalam kelas ini bernama Sawada Shin, seorang yang pemalas tetapi mempunyai masa depan yang cerah pada pandangan Yamaguchi.

Para pelajar kelas 3-D sentiasa berusaha membuat sesuatu agar Yamaguchi akan meninggalkan sekolah. Pelbagai insiden kelakar terjadi sewaktu mereka cuba membuatkan Yamaguchi berhenti mengajar di sekolah itu tetapi sedikit pun tidak memberi kesan kepada Yamaguchi. Namun begitu, para pelajar kelas 3-D tidak mengetahui rahsia sebenar Cikgu Yamaguchi di mana dia rupa-rupanya adalah perwaris kepada kumpulan yakuza yang bernama Ooedo.

 

drama jepun

Kredit foto: endersgirrrl.wordpress.com

Engine

Lakonan dalam drama ini menampilkan Takuya Kimura pada sisi yang berbeza. Jika dibandingkan dengan drama-drama sebelum ini, Takuya lebih banyak memegang watak romantik. Tetapi, untuk drama ini, Takuya tampil lebih maskulin dan tegas. Engine mengisahkan Jiro Kanzaki (Takuya Kimura) yang merupakan pelumba kereta F3000 yang menghadapi kemalangan di eropah dan menyebabkan dia terpaksa pulang ke Jepun. Selepas sembuh, pasukannya tidak mahu mengambilnya semula kerana faktor usia dan pasukannya sudah memiliki ahli yang lebih muda dan berbakat.

Walaupun kecewa, Jiro tidak mudah berputus asa dan sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia dapat kembali berlumba. Jiro pulang ke rumah ayah angkatnya yang pada ketika itu sedang menguruskan rumah anak-anak yatim. Pada mulanya Jiro buat endah tak endah terhadap anak-anak yatim yang berada di rumah ayah angkatnya, tetapi lama kelamaan Jiro menjadi semakin rapat dengan mereka dan perlahan-lahan anak-anak yatim ini menjadi inspirasi kepada Jiro untuk mencapai impiannya.

drama jepun

Kredit foto: flixsearch.io

Great Teacher Onizuka

Kami merasakan drama inilah yang telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang bercita-cita mahu menjadi guru selepas menonton drama ini. Drama lakonan Takashi Sorimachi ini mengisahkan seorang guru yang bernama Onizuka Eikichi yang menjadi guru kelas kepada kelas yang bermasalah di dalam Gakuin School. Onizuka juga sebenarnya merupakan seorang ketua kumpulan gangster motosikal tetapi dia tidak terlalu menonjolkan kisah di sebalik tabir kehidupannya kepada para pelajar.

Walaupun para pelajar kelasnya sentiasa berusaha untuk mengusir Onizuka keluar dari sekolah, Onizuka dapat menghadapinya dengan tenang sekali malah menyebabkan ramai pelajar semakin menyukainya. Onizuka juga menggunakan metod pengajaran yang cukup berbeza berbanding guru-guru lain di mana Onizuka lebih mementingkan tentang pengajaran hidup yang menyebabkan para pelajarnya sayang dan lebih mempercayainya.

Inilah dia antara 5 drama dari Jepun yang pernah popular suatu masa dahulu dan mungkin juga sehingga kini. Bagi yang sudah pernah menonton, mungkin anda boleh tonton semula agar dapat kembalikan kenangan anda. Bagi yang belum, apa kata anda cuba tonton dan hayati setiap yang berlaku dalam drama ini. Andainya anda mempunyai pendapat yang berbeza tentang drama-drama Jepun yang patut ditonton, anda boleh tinggalkan pendapat anda dalam ruangan di bawah ye.

Sumber: Mensive

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *