Lihat Ibu Bapa Menagih Dadah Sejak Kecil, Pemuda Ini Nekad Ubah Keluarga Dengan Dakwah

Allah itu Maha Adil. Hidayah-Nya datang tanpa mengira latar belakang atau asal usul seseorang. Percaya atau tidak, ada orang datang dari keluarga yang kurang bernasib baik, tetapi perkara itu tidak mempengaruhi akhlak dan cara hidupnya.

Contohnya seperti kisah seorang anak muda ini. Penampilan dan budi pekertinya menarik perhatian kerana rajin bertahajud dan mencurah khidmat kepada masjid. Namun, latar belakangnya sangat mengejutkan kerana kedua ibu bapanya merupakan penagih dadah! Ketahui cerita selanjutnya tentang pemuda ini melalui perkongsian oleh ustaz Ebit Lew, pasti buat anda sebak bercampur kagum!

Ibu Bapa Penagih Dadah!

hqdefault

Sekadar Gambar Hiasan

Saya sedih dan terlalu sebak bila jumpa seorang anak muda yang suka pakai jubah dan sangat baik akhlaknya dan sedang memperbaiki diri. Adik beradiknya 7 orang. Ibu bapanya penagih dadah. Dia anak sulung.

Saya menangis mendengar kisah hidupnya. Masa dia bersama dalam beberapa program saya. Dia sangat rajin semenjak saya kenal sehingga bulan Ramadhan ini. Dia bangun tahajud awal. Rajin khidmat. Walaupun umur baru 21 tahun.

Rajin, Minat Pada Dakwah…

Malam-malam masa orang dah tidur dia bangun cuci tandas. Dia mop masjid semuanya senyap-senyap. Dia susun selipar. Dia basuh kereta saya. Sedang belajar tapi sangat rajin berusaha kuat cari duit buat bantu adik-adik. Maknya sahaja yang bekerja kutip sampah. Tapi masih terlibat dengan dadah. Asalnya ayahnya hisap dadah. Mak sampai stress dan ditimpa kemurungan. Akhirnya maknya sekali hisap dadah. Allah..sedih sangat dengar. Dia melihat semua itu semenjak dia kecil. Dia sulung..

Saya menangis melihatnya. Waktu malam saya berdoa ya Allah dalam berjuta rahmat yang sedang kau beri kepadanya berilah sedikit kepada saya. Berilah hidayah kepada ibubapanya. Saya cemburu anak muda begini. Rajin dan yakin pada Allah. Buat dakwah serta suka khidmat keluarga. Saya minta dia buat beberapa kerja. Saya beri dia sedikit duit. Dia tolak dan kata “Saya khidmat ustaz kerana Allah. Saya cuma nak ustaz doakan saya. Kerana saya hafal semua ceramah ustaz. Saya berdoa untuk berjumpa dan khidmat buat ustaz semenjak dari kampung lagi.” Dia ulang beberapa kisah yang pernah saya cerita masa mula-mula saya ceramah dulu yang ada di youtube. Saya dah lama tak cerita.

Saya tetap bagi dia kerana memang hak dia. Kata saya simpan untuk bantu adik-adik. Simpan untuk kahwin. Dia gelak jer…

Nak Hantar Adik-Beradik Ke Madrasah…

“Kisahnya, saya sampai tingkatan 5 tak solat ustaz. Saya buat macam-macam benda jahat. Hidup saya musnah. Sehinggalah saya belajar usaha dakwah dan juga suka dengar ceramah ustaz. Hanya Allah yang tahu betapa nikmatnya dapat usaha dakwah.. Saya azam nak kerja kuat dan nak selamatkan adik beradik saya. Saya nak hantar mereka ke madrasah.”

Saya kata hantarlah sekarang. Kita uruskan. Bab lain semua jangan risau Allah ada. Saya menangis kerana teringat betapa gembiranya Rasulullah saw bila ada anak muda sibuk berdakwah dan rajin.

Dia tanya saya sambil menangis. “Bagaimana saya nak dakwah mak ayah saya?” Jawab saya Allah sayang. Khidmat mak ayah dan sentiasa menangis buat mereka. Allah suka orang yang benar-benar menangis ketika berdoa. Allah nak adik jadi asbab hidayah buat mak ayah.

Jangan Pandang Hina Anak Penagih Dadah!

taubat

Sekadar Gambar Hiasan

Sebab tu jangan pernah pandang hina pada anak penagih atau anak dari lorong atau yang tidak bernasib baik. Kerana di sisi Allah kita semua sama..yang bezakan kita ialah Takwa. Sebab tu saya hormat orang sibuk sayang dan dakwah gengster, maknyah, gay, lesbian, orang yang hidup mereka telah musnah. Tapi dengan agama mereka bahagia. Mereka mulia. Menjadi sebaik-baik insan..saya sayang semua kerana Allah. Ramadhan bulan kita benar benar balik padanya. Bawa seramai mungkin orang yang jauh dari Allah dekat pada Allah.

Ya Allah pilihlah anak kami semua jadi Daie dan buat dakwah pada semua manusia seluruh alam. Kurangnya anak muda yang benar-benar berdakwah dan memimpin tangan semua anak muda dan memimpin dunia dengan Islam sebenarnya..Berilah ikhlas dan istikhlas kepada kami semua. Yakin hanya dakwah dengan cara Nabi saw membawa kejayaan dunia dan akhirat.

Sumber: Ebit Lew

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *